Kenanga unjur jualan runcit dan borong naik 8%, bergantung kesan rasionalisasi subsidi

Business & Finance
14 Mar 2024 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga unjur jualan runcit dan borong naik 8%, bergantung kesan rasionalisasi subsidi

herman

14/03/2024 - 11:13

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kenanga Research membangkitkan kesan rasionalisasi subsidi bahan api yang menjadi risiko kepada unjuran pertumbuhan jualan borong dan runcit 2024 yang diramal berkembang kepada 8%.

Menurut firma penyelidikan itu, jualan borong dan runcit Malaysia dijangka positif tahun ini iaitu meningkat kepada 8.0% berbanding 7.7% tahun lalu dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, disokong kadar pengangguran yang stabil.

Katanya, tinjauan positif ini diperkukuhkan lagi oleh peningkatan berterusan dalam ketibaan dan perbelanjaan pelancong.

"Walau bagaimanapun, risiko kepada ramalan kami termasuk kesan rasionalisasi subsidi, yang berpotensi melembapkan perbelanjaan pengguna dan seterusnya menjejaskan jualan pertumbuhan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga Research, perbandingan jualan perdagangan di beberapa negara menunjukkan prestasi bercampur dengan Singapura mencatatkan peningkatan 1.3% berbanding Disember manakala Jepun kekal 2.3%.

Katanya, Malaysia pula merekodkan penurunan -1.1% bagi Januari 2024 berbanding Disember 2023, namun meningkat 5.4% jika dibanding Januari 2023.

"Berdasarkan latar belakang ini, kami unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 dikekalkan pada 4.5% - 5.0% (2023: 3.7%), mencerminkan jangkaan pemulihan dalam sektor pembuatan.

"Keyakinan ini berakar umbi terutamanya dalam segmen berorientasikan eksport, disokong oleh peningkatan teknologi dan pemulihan ekonomi China yang beransur-ansur, kedua-duanya penting kepada prospek pertumbuhan keseluruhan kami," jelasnya. - DagangNews.com