Kenapa Guna Aplikasi Air Asia Semak Tambang MAS? Netizen ‘Sekolahkan’ Ka Siong

17 Apr 2023 • 9:53 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wee Ka Siong - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ‘disekolahkan’ pengguna media sosial supaya menggunakan aplikasi mudah alih yang tepat untuk menyemak harga tiket penerbangan, susulan perbalahan berhubung perkara itu antara beliau dan penyandang jawatan terbabit ketika ini, Anthony Loke.

Beberapa pengguna Twitter memaklumkan bahawa Ka Siong menemui tiket kelas ekonomi di Malaysia Airlines (MAS) dengan harga lebih RM3,000 untuk penerbangan Kuala Lumpur-Tawau, memandangkan beliau menggunakan AirAsia Super App, bukannya menyemak terus dengan MAS.

“Kalau guna aplikasi AA (AirAsia), mahal. Semak (aplikasi) MAS... jadilah pengguna bijak,” ciap seorang pengguna, dikenali @ervanj

“Hahaha tempah tiket MH (MAS) di aplikasi AA,” tulis @darryld.

Beberapa pengguna lain berkongsi tangkap layar carian tiket penerbangan mereka di aplikasi MAS untuk laluan sama yang menunjukkan harga dipaparkan adalah di bawah RM3,000, sebagai respon kepada kenyataan Ka Siong.

Semalam, Ka Siong mendakwa harga tiket dikenakan syarikat penerbangan untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Tawau pada musim Aidilfitri adalah mengejutkan dan mengecewakan, iaitu RM3,138 sehala bagi kelas ekonomi pada 20 April ini, sekali gus membebankan orang ramai, khususnya golongan B40 serta M40 dari daerah itu yang berada di ibu negara untuk pulang berhari raya.

Membalas dakwaan itu, Anthony kemudian menegaskan, berdasarkan pengesahan dibuatnya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail, harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi, tetapi ialah kelas perniagaan dan ia RM2,863.40, bukannya RM3,138.

Katanya, tiada tiket kelas ekonomi yang dijual sepanjang tempoh disebut Ka Siong kerana kesemuanya sudah habis dijual.

Justeru, Anthony berkata, fakta itu mesti diperbetulkan kerana sebagai mantan Menteri Pengangkutan, beliau pasti Ka Siong memahami perbezaan antara tiket kelas ekonomi dan perniagaan.

Pada masa sama, Anthony memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang akhbar tengah hari ini berhubung tambang penerbangan untuk musim Aidilfitri. – The Vibes, 17 April 2023