
Kota Kinabalu: Seramai 292 guru Sabah layak diambil bekerja di bawah skim kontrak perkhidmatan tetapi kurang daripada 40 guru dipanggil berkhidmat pada tahun ini walaupun negeri ini amat memerlukan guru.
Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Kerajaan Persekutuan menangani masalah ini dengan mengambil guru-guru Sabah ini bekerja, mengatakan proses itu akan lebih murah berbanding memindahkan guru dari semenanjung ke negeri ini.
“Sabah terus diabaikan oleh Kerajaan dalam pelbagai aspek termasuk infrastruktur sehinggalah kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dam kini kekurangan guru di negeri ini telah mencapai tahap kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Shafie berkata terdapat juga ratusan sekolah usang di Sabah yang menyebabkan pelajar sekolah tidak mendapat akses pendidikan sama rata seperti yang dinikmati rakan sebaya mereka di negeri lain.
“Malah pengabaian ini telah berlanjutan kepada guru-guru Sabah yang layak diberi peluang pekerjaan.
“Tiada sebab kenapa guru-guru ini tidak harus diambil bekerja kerana ia menyelesaikan kerumitan pemindahan guru dari negeri lain ke Sabah, yang pada asasnya menanggung kos yang lebih tinggi. Tambahan pula, Kerajaan telah pun berjanji untuk merealisasikan sasaran nisbah 90:10 guru tempatan berbanding guru luar di Sabah.
“Amat malang sekali bahawa dalam hal pendidikan pun, Kerajaan gagal memberi perhatian serius kepada Sabah. Mereka langsung tidak mendengar masalah yang sentiasa dialami rakyat,” katanya.
Demi masa depan anak-anak di Sabah, beliau menyeru Kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sepenuhnya.
“Kita sedang membina sebuah negara. Kenapa rakyat Sabah tidak mendapat layanan yang sama seperti rakyat Malaysia di semenanjung? Bukankah kita juga rakyat Malaysia?,” katanya, sambil menambah perkara itu akan dibangkitkan dalam sidang parlimen akan datang pada bulan ini.
Semasa perjumpaan melalui Zoom dengan Shafie pada Khamis malam, guru-guru meluahkan kesedihan dan kekecewaan mereka selepas pengumuman pada 28 Mei tahun ini mendedahkan hampir kesemua mereka gagal diambil bekerja di bawah skim kontrak perkhidmatan.
Sebelum pengumuman itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata terdapat 2,400 kekosongan jawatan guru kontrak yang memohon pada 2021.
