Kenapa Harga Minyak Mentah Global Turun Tapi Di Stesen Minyak Kita Tidak? Ini Penjelasan MoF

LocalBusiness & Finance
8 Apr 2026 • 11:27 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) malam tadi, 8 April mengumumkan pelarasan harga runcit petroleum bagi tempoh 9 sehingga 15 April 2026.

Pelarasan ini menyaksikan harga diesel di Semenanjung naik 70 sen menjadi RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter pada minggu sebelumnya, sekaligus mencatat rekod tertinggi baharu.

Manakala petrol RON97 naik 40 sen menjadi RM5.35 sen seliter dan RON95 tanpa subsidi juga naik (40 sen RM4.27 seliter).

Petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 pula kekal pada RM1.99 seliter dan begitu juga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.

Kenaikan bahan api ini khususnya diesel nyata mencuri perhatian ramai memandangkan hari ini harga minyak global menurun selepas Iran mengumumkan bersetuju dengan pelan gencatan senjata selama dua minggu bersama Amerika Syarikat (AS) dan bersedia membuka Selat Hormuz, satu-satunya laluan laut bagi pengeluar di Teluk mengeksport minyak dan gas dalam jumlah besar ke pasaran global.

Malah ramai yang menyuarakan rasa kecewa termasuk ada segelintir yang mengkritik kerajaan kerana menaikkan harga minyak di pam minyak di saat harga global sudah menurun di bawah paras US$100 setong.

Setakat pagi tadi, minyak mentah Brent menrosot 13.20% kepada US$94.85 manakala West Texas Intermediate menurun 14.58% kepada US$96.48 setong.

Baca Artikel Berkaitan: Gencatan Senjata 2 Minggu AS & Iran: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Harga minyak ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya

Peka dengan isu tersebut MoF sebentar tadi tampil menjelaskan mengapa harga minyak mentah global turun namun harga bagi bahan api tempatan masih kekal.

Menurut MoF, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi harga minyak bagi minggu ini (9 – 15 April 2026).

Antaranya harga pasaran minyak tempatan tidak ditentukan mengikut harga pasaran hari ini kerana harga di pam ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.

Tambahnya, bekalan minyak semasa dibeli pada harga lebih tinggi dan ini yang mempengaruhi harga pam (harga di stesen minyak).

“Harga semasa masih mencerminkan kos bekalan terdahulu yang tinggi, sekitar AS$150 setong bagi petrol dan AS$250 setong (diesel).”

Tambah MoF lagi, harga minyak global sebelum ini juga melonjak naik mendadak selama 5 minggu menyebabkan kebanyakan kos meningkat termasuklah insurans dan logistik.

“Namun begitu, Kerajaan masih mengekalkan harga minyak bersubsidi bagi kesejahteraan rakyat dan mengawal harga barangan,” kata MoF.

image is not available