Kenapa konsert di Bachok terkecuali dari Enakmen Kawalan Hiburan, soal Wanita PKR

27 Nov 2023 • 4:46 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan digesa mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan terhadap satu konsert yang berlangsung di Bachok, di mana penyanyinya memakai pakaian mencolok mata sekali gus didakwa tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.

Gesaan dibuat oleh Ketua Wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat yang turut mempersoalkan apakah konsert yang diadakan di Bachok itu terkecuali dari Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan?

“Wanita PKR Kelantan mendapat maklumat bahawa penganjuran konsert yang berlangsung di Bachok pada 24 November 2023 (Jumaat), melibatkan artis bernama Thungpang Chanoknan dari Thailand yang mengenakan pakaian mencolok mata.

“Kami difahamkan konsert tersebut dianjurkan sempena Pesta Loy Krathong dan melalui beberapa sebaran video di TikTok memperlihatkan pakaian penyanyi serta penari dalam keadaan tidak memenuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan,’’ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

image is not available
Difahamkan konsert tersebut dianjurkan bersempena Pesta Loy Krathong di Bachok, baru-baru ini. - Gambar Facebook, 27 November, 2023

Beliau mengulas mengenai video klip yang dimuatnaik di TikTok, yang memaparkan seorang penyanyi wanita berskirt pendek serta berbaju sendat membuat persembahan di hadapan ratusan penonton.

Selain penyanyinya, penari di dalam video klip berkenaan turut mengenakan skirt pendek.

Loy Krathong merupakan sambutan tahunan masyarakat Siam yang majoritinya merupakan penganut Buddha.

Mengulas lanjut, Azmiza turut berharap agar kejadian serupa tidak berulang lagi di masa akan datang dengan pelaksanaan penguatkuasaan yang tegas dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Kami juga menuntut sebarang konsert selepas ini benar-benar mematuhi enakmen tersebut melalui penguatkuasaan yang tegas.

"Saya percaya, seluruh rakyat Kelantan tidak mahu enakmen yang cukup kita banggakan selama ini dipandang enteng dan dianggap sekadar kosmetik semata-mata,’’ katanya. – 27 November, 2023