
SANDAKAN: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan perbezaan bantuan banjir yang diberikan kepada mangsa di Johor dan Sabah.
Presiden Parti Warisan itu menggesa Kerajaan Negeri menjelaskan kenapa rakyat Sabah nampaknya menerima bantuan lebih kecil. Beliau mendakwa mangsa banjir di Johor menerima RM3,000, manakala mereka di Sabah hanya menerima RM1,300 – malah mungkin bukan pun daripada Kerajaan Negeri.
“Di Johor, saya nampak orang dapat RM3,000. Di Sabah RM1,300. Dan saya diberitahu itu mungkin datang dari Yayasan Sabah, bukan Kerajaan Negeri. Saya ingin tahu sama ada ini benar,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Libaran, pada Ahad, di mana beliau turut mengagihkan bantuan kepada keluarga asnaf.
Shafie berkata, dengan Sabah sudah dilanda banjir tiga kali tahun ini, Kerajaan mesti meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balasnya.
Beliau menggesa agar parit monsun lebih lebar dibuat, dan mengkritik aktiviti pembalakan tidak terkawal, yang menurutnya, menyumbang kepada banjir semakin teruk.
Sementara itu, pada majlis berasingan di Karamunting, Shafie mengingatkan ahli Warisan agar tidak menjadi lalai selepas menerima tepukan orang ramai, dengan mengatakan kehadiran orang awam tidak boleh disalah anggap sebagai sokongan pengundi sebenar.
“Kita tidak boleh leka. Sokongan pada acara memang menggalakkan, tetapi ia bukan jaminan undi,” katanya.
Beliau menggesa ahli parti untuk memberi tumpuan kepada usaha membina kepercayaan dan mengukuhkan penglibatan dengan rakyat, terutamanya dalam kalangan pengundi muda, yang membentuk blok pengundian yang penting.
Beliau berkata komitmen Warisan sejak sekian lama untuk mempertahankan hak rakyat Sabah dan meningkatkan taraf hidup mereka tetap tidak berubah.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata pertandingan pelbagai penjuru adalah perkara biasa dalam landskap politik tempatan dan tidak seharusnya menjadi gangguan.
“Malah dalam pilihan raya negeri yang lalu, kita berdepan dengan banyak pencabar. Pertandingan lima penjuru, 10 penjuru adalah perkara biasa dalam politik – apa yang penting ialah menunjukkan kepada rakyat, kita masih pilihan terbaik untuk melindungi Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Dalam majlis Karamunting itu, Shafie turut menyampaikan duit raya dan bantuan beras kepada sekitar 200 keluarga asnaf. Kanak-kanak yang hadir juga menerima duit raya.


