Kenapa Media Kaburkan Muka Sesetengah Pesalah & Ada Individu Yang Didedahkan? Ini Penjelasannya

Opinion
8 May 2026 • 1:22 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kenapa Media Kaburkan Muka Sesetengah Pesalah & Ada Individu Yang Didedahkan? Ini Penjelasannya

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kenapa media kaburkan muka orang kena tuduh dan orang yang ditahan?

Sebagai seorang manusia biasa, kita memang secara semula jadi ada perasaan ingin tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling. Lebih-lebih lagi bila melibatkan isu besar seperti jenayah berat, kes tular, kemalangan maut, salah laku atau kontroversi yang hangat diperkatakan ramai.

Sebab itu ramai akan mula mencari lebih banyak maklumat termasuk nama, rakaman video atau wajah individu yang terlibat. Antara ayat yang paling popular adalah, “Mana muka dia, aku nak tengok?”.

Tapi kadang-kadang rasa ingin tahu itu terbantut apabila media memilih untuk mengaburkan wajah (blur) mahupun identiti suspek dalam laporan mereka.

Pun begitu ada juga sesetengah kes yang muka mereka didedahkan hingga ada yang mendakwa kononnya wujud “double standard” dan sebagainya.

Ini menyebabkan ada pihak yang mula menghamburkan kata-kata kurang manis kepada organisasi media seolah-olah tindakan itu adalah cubaan untuk melindungi identiti individu tersebut.

Etika kewartawanan

Sebenarnya semua ini disebabkan etika kewartawanan. Etika yang juga dikenali sebagai nilai-nilai akhlak ataupun prinsip moral.

Meskipun etika kewartawanan ini bukanlah satu undang-undang bertulis, namun ianya sentiasa dipegang kemas oleh mana-mana individu yang bergelar wartawan bagi memastikan mereka terus kekal bertanggungjawab dan profesional semasa bertugas.

Menurut Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, terdapat beberapa perkara yang perlu dijaga oleh media antaranya adalah:

  • Foto suspek kes jenayah yang belum dituduh di mahkamah
  • Orang kena tuduh (OKT) bagi mana-mana kes berkaitan salah laku seksual membabitkan ahli keluarga
  • Kanak-kanak
  • Pesalah juvana
  • Keluarga pesalah

Semua ini adalah bersebab dan mempunyai alasan tertentu.

“Kena ingat asas kewartawanan adalah seseorang yang dituduh atau didakwa bersalah masih belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah, kata Ahmad Faisal dipetik Awani.

Ini kerana dalam sistem undang-undang, seseorang individu dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Kalau seseorang ditahan dan belum dituduh wajahnya akan DIKABURKAN

Secara ringkasnya jika seorang individu itu ditahan atau direman, wajahnya akan dikaburkan tanpa mengira identiti, latar belakang, bangsa dan agamanya.

Namun wajahnya mula terdedah tanpa dikaburkan muncul dalam laporan media sebaik dia DITUDUH atau DIBICARAKAN di mahkamah. Diringkaskan sudah ada pertuduhan rasmi.

Malah nama penuhnya juga akan disebut secara terbuka dan disebut dalam laporan serta artikel.

Kenapa pula ada orang terkenal yang wajahnya didedahkan?

Pun begitu ada sesetengah kes yang pesalah atau OKT sudah pun didedahkan dari awal sebagai contoh melibatkan tokoh awam (public figure) atau kes berkepentingan awam (public interest).

Selain itu ada juga kes jenayah besar, sindiket scam besar-besaran atau ancaman awam.

Mengikut media antarabangsa pula public figure lebih mudah didedahkan jika ia melibatkan jenayah berkaitan kuasa atau dana awam

Pesalah juvana juga dikaburkan

Dalam hal membabitkan pesalah juvana, kanak-kanak dan keluarga pesalah pula, antara faktor utama mengapa media memilih menutup wajah dan identiti mereka adalah bagi memastikan tidak timbul kesan jangka panjang pada masa hadapan.

Image from: Kenapa Media Kaburkan Muka Sesetengah Pesalah & Ada Individu Yang Didedahkan? Ini Penjelasannya

Jelas beliau, ini kerana masyarat akan ‘menjatuhkan hukuman’ terhadap individu-individu terbabit dan seterusnya memberi kesan psikologi kepada mereka untuk jangka masa panjang.

“Masyarakat akan menjatuhkan hukum terhadap kanak-kanak serta keluarga pesalah terbabit dan kesan jangka panjangnya apabila kanak-kanak itu semakin membesar. Sudah tentu ia akan memberi kesan psikologi,” jelas Ahmad Faisal lagi.

Malah sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said juga pernah mengingatkan orang ramai bahawa menyiarkan gambar kanak-kanak dalam prosiding jenayah merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tegasnya, pelanggaran peruntukan ini boleh mengakibatkan pertuduhan jenayah.

Bukan itu sahaja, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) juga mempunyai garis panduan media antarabangsa buat para wartawan antaranya:

  • Mengutamakan “best interest of the child”
  • Tidak sekekali mengeksploitasi emosi kanak-kanak untuk mensesasikan laporan
  • Tidak menjadikan kanak-kanak sebagai bahan sensasi
  • Tidak menerbitkan laporan yang boleh membuatkan kanak-kanak itu atau ahli keluarga mereka di dalam bahaya
Image from: Kenapa Media Kaburkan Muka Sesetengah Pesalah & Ada Individu Yang Didedahkan? Ini Penjelasannya

View Original Article