
Kenapa Negara Timur Tengah Kaya Dengan Sumber Minyak? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Kebanyakan negara di seluruh dunia bergantung kepada import minyak dari Timur Tengah bagi memenuhi keperluan tenaga masing-masing.
Kebergantungan ini menjadikan rantau tersebut antara pembekal utama minyak dan gas di peringkat global serta memainkan peranan penting dalam kestabilan ekonomi dunia.
Namun begitu, mengapa Timur Tengah mempunyai simpanan minyak yang begitu besar berbanding kawasan lain di dunia?
Hari ini, SK ingin menjelaskan bagaimana dan mengapa ia terjadi, menurut portal Fossilfuel.com.
Simpanan minyak yang sangat besar
Dari segi simpanan minyak global, portal Fossilfuel.com menjelaskan bahawa rantau Timur Tengah mempunyai kepekatan minyak dan gas terbesar di dunia.
Penganalisis tenaga menganggarkan sekitar 80 hingga 85 peratus keperluan tenaga dunia masih bergantung kepada bahan api fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli.
Oleh kerana Timur Tengah memiliki simpanan minyak mentah dan gas asli yang sangat besar, negara-negara di rantau ini telah lama memainkan peranan penting dalam ekonomi global.
Sumber semula jadi ini menyumbang besar kepada pembangunan dunia dan pemodenan ekonomi global.

Persoalannya, bagaimana sebahagian besar sumber bahan api fosil dunia boleh tertumpu di satu kawasan sahaja?
Para ahli geologi dan penyelidik telah mengemukakan pelbagai teori untuk menjelaskan keadaan ini.
Negara-negara kaya minyak di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait, Syria, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman dan Oman hanya meliputi kira-kira 3.4 peratus keluasan daratan dunia.
Namun, kawasan ini menyimpan sekitar 38 peratus gas asli dan 48 peratus rizab minyak mentah dunia.
Pada tahun 2020, kira-kira 27 peratus pengeluaran minyak dunia datang dari rantau ini.
Sejak sekian lama, Timur Tengah menjadi pembekal utama minyak dan gas dunia, sekali gus memacu pembangunan ekonomi mereka melalui industri ini.
Sejarah penerokaan minyak di Timur Tengah
Menurut portal Fossilfuel.com, industri minyak dan gas di Timur Tengah bermula pada tahun 1901 apabila William D’Arcy mendapat kebenaran untuk mencari minyak di Parsi (kini Iran).
Selepas tujuh tahun pencarian, minyak akhirnya ditemui pada tahun 1908 di barat daya Iran.
Penemuan ini membuka era baharu kemakmuran di rantau tersebut. Syarikat Anglo-Persian Oil Company ditubuhkan pada tahun 1909, yang kemudiannya berkembang menjadi Anglo-Iranian Oil Company dan akhirnya dikenali sebagai British Petroleum.
Penemuan ini mencetuskan perlumbaan global untuk mendapatkan minyak di Timur Tengah.

Hari ini, Iran masih merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia.
Namun, sejarah penguasaan kuasa asing seperti Britain turut mencetuskan ketegangan politik di rantau ini, termasuk Revolusi Iran pada tahun 1979 yang memberi kesan besar kepada politik dan kuasa di Timur Tengah.
Sejarah geologi
Untuk memahami bagaimana Timur Tengah menjadi pusat pengeluaran bahan api fosil, portal Fossilfuel.com menjelaskan bahawa kita perlu melihat sejarah bumi berjuta-juta tahun dahulu.
Bahan api fosil sebenarnya terbentuk daripada sisa tumbuhan dan mikroorganisma purba, bukan daripada dinosaur seperti yang sering disalah anggap.
Apabila sisa ini tertanam dalam keadaan tanpa oksigen, tekanan tinggi dan suhu panas selama jutaan tahun, ia berubah menjadi minyak, gas dan arang batu.
Kebanyakan bahan api fosil hari ini berasal daripada hutan purba yang subur.

Lama-kelamaan, tumbuhan ini tenggelam jauh ke dalam bumi dan terperangkap dalam lapisan sedimen, membentuk sumber tenaga yang kita gunakan hari ini.
Walaupun Timur Tengah kini dikenali sebagai kawasan gurun, suatu ketika dahulu ia dipenuhi kehidupan laut dan tumbuhan.
Pergerakan plat tektonik serta kewujudan Lautan Tethys membantu mewujudkan keadaan sesuai untuk pembentukan bahan api fosil.
Pergerakan bumi dan membentukan minyak
Portal Fossilfuel.com turut menyatakan bahawa lebih 70 peratus minyak di Timur Tengah terbentuk semasa zaman Jurassic dan Cretaceous.
Peristiwa geologi seperti pemisahan Semenanjung Arab dari Afrika telah membentuk Teluk Parsi dan Laut Merah, yang menjadi kawasan utama simpanan minyak.
Difahamkan, minyak banyak ditemui di kawasan rekahan dan zon pergerakan bumi.

Struktur geologi ini membolehkan minyak terkumpul dalam jumlah besar di bawah permukaan bumi.
Namun, tidak semua kawasan di Timur Tengah mempunyai minyak yang banyak.
Negara seperti Turki, Oman dan Syria mempunyai simpanan lebih kecil kerana tidak memiliki semua faktor geologi yang diperlukan.
Faktor penting pembentukan minyak
Menurut Fossilfuel.com, untuk menghasilkan minyak dan gas, beberapa syarat penting diperlukan iaitu:
Kehadiran karbon dan hidrogen
Persekitaran tanpa oksigen
Tekanan dan suhu yang tinggi
Tempoh masa berjuta-juta tahun

Kebanyakan kawasan di Timur Tengah memenuhi semua syarat ini, menyebabkan simpanan minyak yang besar terbentuk.
Baca juga:


