Anekdot Mawarith09/09/2026 - 07:00 Para peserta Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjung Karang bersiap sedia di garisan pelepasan pada 6 September 2026. - Gambar oleh Hakim Ngainan Photography Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Ketika artikel ini ditulis, saya berada di dalam penerbangan ke London. Menjadi amalan saya untuk sentiasa berada di sisi komputer riba apabila bermusafir. Terlanjur idea sarat di dalam kepala, saya mengambil kesempatan untuk menulis artikel ini.
Bagi saya, sesuatu yang membuang masa jika hanya sekadar termenung atau menonton filem di dalam penerbangan jarak jauh yang memakan masa ini.

Saya ke London kerana dijemput menghadiri acara Global Islamic Finance Summit yang menghimpunkan lebih 300 pemain dan peneraju industri kewangan Islam dari seluruh dunia.
Peluang untuk belajar dan bertemu dengan pakar kewangan Islam yang berpengalaman serta berpengetahuan tinggi memang sesuatu yang sangat sukar dilepaskan. Ia membuka mata dan pandangan saya kepada perspektif perancangan harta Islam secara lebih holistik.
Wasiyyah LSPTK 2026
Namun, apa yang mahu saya sentuh dalam artikel ini ialah acara Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjung Karang (LSPTK) 2026 yang baru sahaja berakhir pada 6 September lalu.
Wasiyyah bertindak sebagai penaja utama program ini. Sebenarnya, 2026 ialah tahun kedua Wasiyyah terlibat secara langsung. Kami juga telah menaja LSPTK 2025.
LSPTK membuka dimensi baharu kepada kami kerana jumlah peserta yang terlibat tahun ini melebihi 5,000 orang berbanding 4,000 orang pada 2025. Peserta datang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan peserta dari Singapura dan Brunei.
Ramai yang bertanya kepada saya mengapa Wasiyyah terlibat kerana kelihatannya perancangan harta secara Syariah tiada kena-mengena dengan acara larian santai seperti ini.



Membudayakan kehidupan sihat
Kami terpanggil untuk terlibat secara langsung dalam acara ini kerana ia merupakan sebahagian daripada polisi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Wasiyyah. Sejak 2024, Wasiyyah telah menjadikan budaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada polisi kami.
Kami pernah menganjurkan Larian Lestari Alam di Putrajaya pada 2024, namun penyertaannya hanya sekitar 400 orang kerana terhad kepada kakitangan dan daie Wasiyyah serta ahli keluarga mereka.
Dalam organisasi, polisi ESG Wasiyyah membawa kami kepada proses pendigitalan bagi meminimumkan penggunaan kertas, sekali gus membantu memelihara kelestarian hutan. Lebih 80% kakitangan juga kini bekerja menerusi aturan kerja fleksibel (Flexible Working Arrangement), yang memberikan keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan yang lebih baik serta membantu meminimumkan pelepasan karbon monoksida ke udara.
Wasiyyah turut memperkenalkan aplikasi mudah alih Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada 2023, yang merupakan aplikasi akad hibah tanpa kertas pertama di dunia. Ini juga merupakan salah satu strategi ESG kami.
Sehingga hari ini, lebih 36,000 dokumen digital telah dijana melalui aplikasi ini. Mahkamah Syariah juga telah menerima aplikasi digital ini sebagai akad hibah yang sah dari segi undang-undang Syariah di Malaysia.
Penajaan Wasiyyah LSPTK merupakan bukti komitmen kami untuk memperluaskan lagi pelaksanaan polisi ESG Wasiyyah, kali ini dengan menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif Wasiyyah memperkukuh institusi kekeluargaan
Sesuatu yang sangat menyentuh perasaan saya ialah melihat keakraban hubungan kekeluargaan dan silaturahim dalam kalangan peserta. Hampir kesemua peserta hadir bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Mereka berlari atau berjalan bersama-sama dengan penuh riang dan gelak ketawa. Sebagai orang tua yang telah 28 tahun melihat institusi kekeluargaan musnah kerana harta pusaka, saya berasa terpanggil untuk mengambil sedikit tanggungjawab dengan memberikan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk bergembira bersama sambil merapatkan silaturahim.
Penyertaan secara berkeluarga yang melibatkan ibu bapa dan anak-anak sangat ramai dalam Wasiyyah LSPTK 2026, termasuk penyertaan keluarga dengan anak-anak istimewa yang ditaja sepenuhnya oleh Wasiyyah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami.
Saya difahamkan oleh penganjur, PKSUM Event and Management (PKSUM), bahawa pendaftaran acara ini penuh dalam tempoh hanya dua jam selepas dibuka pada Disember 2025. Wasiyyah LSPTK merupakan antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak.
Saya berasa sangat gembira melihat gelak ketawa dan kemesraan yang terjalin dalam kalangan ahli keluarga yang menyertai aktiviti ini. Tanpa kita sedari, hubungan silaturahim inilah yang akan diuji apabila timbulnya isu harta pusaka ibu bapa kita kelak.


Semakin ramai pasangan muda merancang harta
Wasiyyah telah beroperasi selama 22 tahun. Dalam tempoh 10 tahun pertama, profil demografi pelanggan kami menunjukkan 55% daripadanya terdiri daripada mereka yang berumur 55 tahun ke atas, manakala bakinya ialah golongan yang lebih muda.
Namun, sejak 2015, saya memerhatikan bahawa profil ini telah berubah. Kini, 60% pelanggan kami berumur antara 30 hingga 55 tahun. Saya menganalisis perubahan ini dengan penuh minat dan siasatan mendalam mendapati bahawa golongan ini merancang harta kerana mereka sangat mengambil berat tentang anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun.
Kesedaran mula muncul dalam fikiran mereka mengenai nasib anak-anak sekiranya suami isteri meninggal dunia serentak seperti yang sering kita baca dalam media sosial dan media arus perdana.
Saya percaya ramai suami isteri dalam golongan ini bekerja keras untuk mengumpulkan harta seperti hartanah, pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan polisi takaful semata-mata untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka.
Dalam keadaan pasangan ini tidak membuat sebarang perancangan harta, kehidupan dan kebajikan anak-anak di bawah umur akan terjejas. Walaupun ibu bapa mereka meninggalkan sedikit harta pusaka, siapakah yang akan mengambil inisiatif membantu anak-anak ini melalui semua proses perundangan Syariah dan sivil yang rumit itu?
Siapakah pula yang akan menanggung kos perundangan ini? Siapakah yang boleh diberikan kepercayaan untuk menjadi pemegang amanah harta bagi anak-anak ini?
Penyertaan Wasiyyah LSPTK paling ramai datang daripada golongan muda ini. Melalui acara ini, kami mengambil peluang mendekati golongan berkenaan bagi memberikan pendedahan kepada mereka. Kaunter runding cara yang dikendalikan oleh daie Wasiyyah dibuka bagi membantu memberikan penerangan.

Bersama Rosyam Nor
Pada malam sebelum larian, Wasiyyah turut mengadakan sesi bual bicara yang menampilkan duta kami, Datuk Rosyam Nor, dan pendakwah terkenal, Ustaz Ilyas Ismail, bagi memberikan pencerahan mengenai kepentingan perancangan harta kepada golongan ini.
Wasiyyah mahu, ketika mereka berseronok menjalani aktiviti ini bersama anak-anak, mereka turut memahami kepentingan merancang harta melalui hibah dan perkhidmatan lain Wasiyyah bagi menjaga kebajikan anak-anak mereka.
Melihat sambutan dan kejayaan Wasiyyah LSPTK 2026, kami memberikan komitmen untuk terus menjadi penaja utama acara ini pada 2027.
Insya-Allah, format dan pendekatan baharu akan diperkenalkan bagi memberikan impak yang lebih signifikan kepada masyarakat. - DagangNews.com



