Siapa pernah dengar tentang tragedi Lubuk Yu, Maran yang berlaku pada tahun 2010 dulu? Bermula daripada 26 sehingga 30 Jun 2010, terdapat ramai orang yang terdiri daripada pasukan penyelamat dan anggota sukarelawan terlibat dalam misi mencari seorang mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam, 28 tahun di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang. Mangsa merupakan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Namun begitu, tragedinya bukan sahaja kematian Mohd. Azhar tetapi juga kematian 7 orang daripada anggota penyelamat dan sukarelawan yang terlibat beberapa minggu selepas itu. Pada mulanya, terdapat beberapa pendapat yang menganggap kematian mereka ini ada kena mengena dengan perkara mistik namun sebaliknya, ia adalah disebabkan perkara yang lebih merbahaya iaitu kencing tikus dan Melioidosis.
Menteri Kesihatan pada waktu itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa terdapat 56 orang pasukan penyelamat dan 27 orang anggota sukarelawan yang terlibat sewaktu misi mencari mangsa lemas di Lubuk Yu. Hasil daripada ujian sinar-X dan ujian makmal, barulah pihak kesihatan mendapat jawapan bahawa kematian anggota-anggota keselamatan yang terlibat dalam misi di Lubuk Yu adalah disebabkan oleh dua perkara iaitu:
- Jangkitan bakteria Leptospirosis (kencing tikus)
- Melioidosis
Apakah Leptospirosis?

Leptospirosis adalah sejenis penyakit berjangkit zoonosis. Ia berpunca daripada bakteria spirochaete yang boleh mengakibatkan sakit teruk kepada manusia dan sejumlah besar haiwan seperti mamalia, burung, amfibia dan reptilia. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan maut.
Seorang manusia yang dijangkiti kencing tikus mungkin mengalami simtom seperti seseorang yang dijangkiti penyakit denggi. Mereka akan merasa sejuk dan menggigil teruk pada waktu malam, kulit mereka mempunyai bintik-bintik kemerah-merahan, lesu, demam panas dan mengalami cirit birit atau muntah. Pada tahap yang lebih berbahaya, bakteria ini juga boleh menyebabkan meningitis dan buah pinggang tidak berfungsi.
Kencing tikus mudah dijumpai di kawasan takungan air, seperti yang berlaku di Lubuk Yu. Sekiranya anda tersentuh air yang mempunyai kencing tikus dan kemudian menyentuh muka, mata atau menyuap makanan menggunakan tangan yang kotor, besar kemungkinan anda akan dijangkiti penyakit ini.
Selain itu, penyakit kencing tikus juga lebih mudah dijumpai pada musim banjir. Oleh itu, pastikan anda atau ahli keluarga anda sentiasa mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan atau anggota badan yang terkena air banjir. Dapatkan makanan atau minuman daripada sumber yang bersih dan gunakan sudu atau garpu yang sudah dicuci dengan bersih.
Apakah Melioidosis?
Melioidosis merupakan sejenis penyakit berjangkit disebabkan bakteria Gram-negatif. Ia terdapat dalam tanah dan air yang tidak bersih. Bagi orang yang terjangkit Melioidosis, anda mungkin mengalami simtom seperti sakit di bahagian dada, tulang atau sendi, batuk, jangkitan kulit, paru-paru berair dan nod paru-paru. Kadang kala, simtom anda mungkin juga menyerupai orang yang menghidap penyakit tuberkulosis. Hanya dengan ujian makmal baru dapat menyatakan sama ada seseorang itu menghidap Melioidosis.
Sekiranya anda berada di kawasan yang mempunyai air takungan seperti tempat air terjun, sungai, gua, kawasan banjir dan lain-lain, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri dan meneliti sekiranya tubuh anda menunjukkan simtom-simtom awal jangkitan ini. Jika ya, segera ke hospital berdekatan bagi mengelakkan penyakit ini berlarutan dan keadaan tidak dapat lagi diselamatkan.
Jadikan tragedi Lubuk Yu pengajaran kepada kita. Kita bukan saja perlu menjaga kebersihan diri disebabkan Covid-19 tetapi ada macam-macam bakteria atau virus lain yang boleh menjangkiti kita sekiranya kita lalai tentang kebersihan diri. Jaga diri anda dan orang yang anda sayang.
Saya Zuan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.
Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.