
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk mengaibkan Bournemouth selepas pasukannya menang besar 9-0 ke atas kelab tersebut malam tadi, lapor Daily Mail.
Anak-anak buah Klopp tampil dengan aksi penuh bertenaga dalam perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi tiga perlawanan yang kurang memberangsangkan apabila seri menentang Fulham 2-2 dan Crystal Palace 1-1 sebelum tewas 1-2 kepada Manchester United.
“Kami menjaringkan gol pertama dan kedua yang cantik serta terus meraih gol demi gol.
“Bukan untuk mengaibkan Bournemouth, saya tak boleh menghormati mereka (Scott Parker, ketua jurulatih Bournemouth) dengan lebih banyak. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang selesa,” kata klopp

Klopp menjelaskan bahawa dia berasa lega selepas pasukannya mengutip tiga mata pertama pada kempen musim ini.
“Semua pemain yang diturunkan bermain dengan sangat baik dan layak memenangi perlawanan. Kami memperolehi banyak gol dan penjaring yang berbeza. Kami semua tahu ia sangat penting dan memerlukan sesuatu seperti ini,” jelasnya.
Kali terakhir pasukan itu menang besar 9-0 adalah sewaktu menundukkan Crystal Palace pada September 1989 sebelum muncul sebagai juara liga musim berkenaan.
Dalam perlawanan di Anfield semalam, Luis Diaz dan Roberto Firmino menjadi sinar tuan rumah apabila masing-masing menyumbat dua gol, selain lima lagi disumbangkan oleh Harvey Elliott, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk dan Fabio Carvalho serta gol sendiri dari pelawat, Chris Mepham.

Pasukan yang terkenal dengan slogan You’ll Never Walk Alone itu menjadi perhatian ramai setelah tidak menemui sebarang kemenangan dan tewas kepada Manchester United dalam perlawanan ketiga liga baru-baru ini.
Perlawanan sebelum ini menyaksikan Liverpool dimalukan United 1-2 selepas gawang gol mereka dirobek mudah oleh Jadon Sancho seawal minit ke-16 dan Marcus Rashford pada minit ke-53.
Gol lewat yang diledak penyerang sensasi mereka, Mohamed Salah pada minit ke-81 bagaimanapun tidak membawa apa-apa makna apabila keputusan 1-2 kekal hingga wisel penamat.
Selepas mengharungi empat pusingan perlawanan, Liverpool kini berada di tangga kelapan liga selepas mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan satu tewas.
Walaupun menang besar dengan sembilan gol, Liverpool bagaimanapun masih gagal memintas United yang hanya berada satu mata di atas mereka.
Liverpool dijangka menghadapi dua perlawanan pada minggu depan menentang Newscastle pada 1 September dan Everton pada 3 September.
Sumber: Daily Mail
The post Kenduri 9-0, Liverpool Tidak Berniat Aibkan Bournemouth – Klopp appeared first on Siakap Keli.
