Kenduri pengantin Siam, ‘sekampung’ Melayu gotong-royong memasak

LocalFood
18 Aug 2026 • 7:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kenduri pengantin Siam, ‘sekampung’ Melayu gotong-royong memasak

TUMPAT: Pergaulan dan membesar dalam masyarakat Melayu menjadikan perkahwinan pasangan pengantin Siam di Kampung Chenderung Teluk Jering di sini, unik apabila 100 orang masyarakat Melayu bergotong-royong memasak hidangan untuk dijamu kepada para jemputan.

Penduduk membuat persiapan seawal pukul 6 pagi dengan menyembelih dua ekor lembu untuk meraikan pengantin ber­keturunan Siam, Yusrivilychai dan isterinya, Tharina.

Golongan wanita Melayu pula sibuk di dapur menyiap­kan rempah-ratus untuk gulai kawah, ayam masak merah, sambal, acar, sup dan sayur yang merupakan menu makanan orang Melayu.

Ibu pengantin lelaki, Mek Sewin Chaw atau dikenali Maksu Ani berkata, persiapan ken­duri seperti menyembelih lembu, memasak nasi dan gulai kawah semuanya diuruskan penduduk kampung berketurunan Melayu.

“Kira-kira 100 penduduk datang bergotong-royong me­nyiapkan juadah untuk ken­duri kahwin anak lelaki saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Moksu Ani berkata, dia me­ngundang kira-kira 5,000 tetamu pelbagai kaum untuk majlis perkahwinan anaknya dan pa­ling ramai adalah orang Melayu yang hadir.

“Tetamu tidak perlu was-was untuk makan kenduri di rumah saya walaupun saya berketurunan Siam, tetapi sekeliling jiran saya adalah Melayu.

“Hanya pegangan agama yang berbeza, cara hidup saya dan keluarga seperti orang Me­layu,” ujarnya.

Maksu Ani yang juga pesara guru Tabika Perpaduan me­ngakui, situasi itu sudah menjadi tradisi setiap kali kenduri berlangsung di kampung ini.

Sementara itu tukang masak gulai, Fatimah Daud, 52, berkata, persiapan memasak secara gotong-royong ini dirancang oleh Maksu Ani sejak empat bulan lalu.

“Saya dilantik menjadi tukang gulai dan perlu menyediakan lapan kawah gulai. Tiada yang pelik di kampung kami orang Siam kahwin tetapi yang hadir makan orang Melayu kerana makanan itu halal dan dimasak oleh orang Islam,” katanya. – UTUSAN

The post Kenduri pengantin Siam, ‘sekampung’ Melayu gotong-royong memasak appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved