Kenya-Malaysia sedia perkukuhkan lagi hubungan bilateral - Pesuruhjaya Tinggi

Politics
4 Jan 2023 • 2:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kenya dan Malaysia bersedia untuk terus memperkukuh dan memperluas hubungan dua hala dengan mempergiat penglibatan dalam beberapa bidang kerjasama, kata Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia Francis Ndegwa Muhoro .

Muhoro berkata di sub-Sahara Afrika, Kenya ialah pasaran utama bagi Malaysia dan terdapat potensi besar bagi kedua-dua negara untuk mengembangkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau berkata terdapat peluang besar buat kedua-dua negara untuk menambah nilai dalam bidang pemprosesan produk asas tani, pembuatan, pelancongan serta kerjasama dalam bidang sukan.

“Di Afrika sub-Sahara, Kenya pasaran utama bagi Malaysia. Sebagai contoh pada 2021 Kenya disenaraikan sebagai rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Afrika. Namun, sebaliknya, eksport Kenya ke Malaysia masih sangat rendah,“ kata beliau dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Nairobi dan Kuala Lumpur menjalin hubungan diplomatik pada 1965. Kenya menubuhkan misinya pada 1996 manakala Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Tinggi di Nairobi pada 2005.

Mengulas mengenai perdagangan dua hala antara Kenya dan Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi itu berkata dagangan dua hala itu menunjukkan pertumbuhan sangat positif yang menyaksikan peningkatan sebanyak 81 peratus pada 2021.

“Lebih banyak syarikat dan ahli perniagaan Malaysia telah menyuarakan minat mendalam untuk menjalankan perniagaan di Kenya. Kenya juga sedang mengintai peluang mempelbagaikan asas pasarannya untuk eksportnya,“ katanya.

Muhoro berkata Kenya sedang meneroka akses pasaran untuk produk hortikulturnya seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan.

“Pada Ogos tahun ini, satu pasukan dari Malaysia melawat Kenya untuk menjalankan analisis risiko perosak ke atas alpukat. Kami juga sedang berusaha untuk membawa ternakan dan produk daging Kenya ke Malaysia. Perbincangan mengenai perkara ini sedang berjalan...,“ kata Muhoro.

Pada 2021, eksport Kenya ke Malaysia berjumlah Ksh. 2,026,144,634 manakala import bernilai Ksh.10,333,864,165.

Beliau berkata dalam usaha mencapai tonggak ekonomi Dasar Luar Kenya, Suruhanjaya Tinggi telah memudahkan hubungan antara pelabur berpotensi di Malaysia dan pemain industri utama di Kenya.

Antara bidang kerjasama baharu yang boleh diterokai kedua-dua negara termasuk dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), tenaga boleh diperbaharui, ekonomi biru dan perlindungan alam sekitar.

“Iklim pelaburan Kenya adalah yang paling kukuh dalam Komuniti Afrika Timur (EAC) dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) mengalir masuk dari pasaran baharu muncul dan maju serta sejumlah besar syarikat multinasional dengan serantau dan seluruh benua yang beribu pejabat di negara ini.

“Justeru, saya menggesa komuniti perniagaan Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada dasar kerajaan yang mesra pelaburan, tenaga buruh yang murah tetapi berpendidikan, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik serta kemunculan platform teknologi tinggi dan digital baharu,“ kata Muhoro.

Muhoro berkata mesyuarat perundingan dua hala Kenya-Malaysia pertama yang diadakan di Nairobi pada awal 2022 telah merintis laluan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan kini “kita sedang menuai hasil daripada mesyuarat itu”.

Perasmian Mekanisme Perundingan Dua Hala Kenya-Malaysia (BCM) bersedia untuk melonjakkan hubungan dua hala dan sesi kedua dijadual diadakan di Malaysia pada suku pertama 2023.

Ditanya sama ada sudah tiba masa untuk kedua-dua negara memulakan lawatan politik peringkat tinggi bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala, Muhoro berkata: “Lawatan peringkat tinggi menjadi asas kepada hubungan dua hala yang kukuh. Saya sangat optimis kita akan melihat lebih banyak penglibatan untuk memajukan hubungan dua hala ke tahap lebih strategik”.-Bernama

View Original Article