Kenyataan asal usul kaum boleh cetus perpecahan

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 11:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kenyataan asal usul kaum boleh cetus perpecahan

PETALING JAYA: Semua pemimpin politik diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu berkaitan kaum dan asal usul bangsa kerana kenyataan sedemikian berpotensi menyinggung perasaan rakyat serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata, kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu asal usul bangsa adalah tidak wajar dan kurang sesuai dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata, walaupun ahli politik mungkin sudah biasa berdepan kritikan, namun kenyataan sedemikian boleh memberi kesan kepada rakyat biasa yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara.

“Bagi saya mungkin tidak mengapa kerana saya ahli politik, tetapi bagi orang biasa kenyataan seperti itu boleh menyakitkan hati.

“Ramai yang sudah bergenerasi tinggal di Malaysia, bekerja keras untuk negara dan tidak pernah tinggal di negara lain. Tiba-tiba dikatakan Cina ada China, India ada India. Saya rasa perkara itu tidak patut.

“Dalam kempen politik sekalipun, semua pihak perlu menjaga sensitiviti masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 di Menara MBSB Bank, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad Sanusi pada 24 Julai lalu yang menyebut Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Jempol.

Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia adalah tanah airnya kerana sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina yang dilahirkan, dibesarkan dan mendapat pendidikan di negara ini.

“Saya sendiri berketurunan Cina, tetapi saya dilahirkan di sini, dibesarkan di sini dan belajar di sini. Kalau suruh saya balik ke China, saya pun tidak tahu hendak buat apa kerana tiada sesiapa di sana.

“Saya rasa tidak patut kenyataan seperti itu. Walaupun kita tahu sekarang adalah musim kempen pilihan raya, kenyataan seperti itu tidak sesuai untuk negara Malaysia,” katanya – UTUSAN 

The post Kenyataan asal usul kaum boleh cetus perpecahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved