Kenyataan Kerajaan Pusat Akan Bertukar Jika PN Menang PRN Tidak Betul – Ramkarpal

Politics
7 Aug 2023 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ramkarpal Singh. gambar fail

GEORGE TOWN - Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini adalah tidak betul.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, ketika ditemui Bernama hari ini,  berkata sekiranya gabungan pembangkang itu menang di enam negeri pada PRN ini, ia tiada kaitan dengan kedudukan kerajaan Pusat.

Sebaliknya, katanya, semua Ahli Parlimen terikat dengan undang-undang Akta Lompat Parti.

Beliau berkata di bawah undang-undang Akta Lompat Parti itu, mana-mana Ahli Parlimen tidak boleh lompat parti secara individu kerana undang-undang tersebut telah berkuat kuasa di peringkat persekutuan walaupun ada beberapa negeri belum melaksanakannya.

Ramkarpal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Pengerusi PN, semalam, bahawa terdapat  proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat Pusat berlaku sekiranya PN menang pada PRN ini  walaupun terdapat Akta Lompat Parti.

Terdahulu, Ramkarpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, di sini, bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bagi meninjau kerja membaiki dan menaik taraf keadaan siling serta bumbung 10 buah kelas yang rosak dan telah siap dibaiki.

Esok, adalah hari mengundi awal dan Sabtu ini hari mengundi PRN di Kelantan,Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved