Kenyataan Rafizi jatuhkan martabat, integriti penjawat awam

17 Nov 2022 • 9:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengeluarkan kenyataan kontroversi berbaur ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilihat menjatuhkan martabat dan integriti penjawat awam.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kenyataan itu seolah-olah menidakkan tanggungjawab penjawat awam untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Penjawat awam hanya menjalankan tugas mengikut lunas undang undang dan bidang kuasa yang telah diberikan kepada mereka.

“Tambahan pula, siasatan yang dilakukan oleh SPRM terhadap Rafizi Ramli adalah atas dasar laporan yang telah diterima oleh SPRM daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media tempatan melaporkan Rafizi pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru semalam dilapor berkata, PH akan 'mencari' Azam sekira pakatan itu menang pada PRU15.

Sebelum ini, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon PH kerusi Parlimen Pandan pada PRU15.

Tengku Adnan berkata ugutan dan ancaman yang diberikan oleh Rafizi berbaur seperti wujudnya matlamat untuk menyalahgunakan kuasa dengan mengambil tindakan terhadap penjawat awam sekiranya PH berpeluang untuk menjadi sebuah kerajaan.

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana seharusnya mana-mana pihak yang melakukan kesalahan terutama sekali yang bertentangan dengan Kanun Keseksaan atau Akta SPRM perlulah disiasat tanpa perlu melihat pendirian mereka dalam mana mana parti politik.

“Ugutan dan ancaman ini bererti mana mana sahaja individu PH yang disiasat oleh SPRM selepas ini adalah satu kesalahan dan penjawat awam tersebut perlu dihukum,” katanya.

Beliau berkata Rafizi sewajarnya bersifat lebih terbuka dan berani untuk siasatan dilakukan terhadap perolehan asetnya kerana itulah tujuan kenapa pengisytiharan harta dilakukan di peringkat yang pertama.

“Sekiranya wujud keraguan, SPRM akan menjalankan fungsinya untuk mendapatkan kebenaran dan kesahihan,” katanya.-Bernama

View Original Article