​Kenyataan Rayer cetus kekeliruan, cabar kewibawaan Perlembagaan – UMNO Bentong

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ​Kenyataan Rayer cetus kekeliruan, cabar kewibawaan Perlembagaan – UMNO Bentong

​BENTONG: Pandangan secara terbuka yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung kes Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai cubaan memainkan persepsi politik yang boleh menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

​Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu di Dewan Rakyat menunjukkan kedangkalan memahami skop kuasa institusi negara, manakala keputusan membabitkan proses perundangan dan Pejabat Peguam Negara adalah berasaskan lunas undang-undang serta fakta kes semata-mata.

​Menurutnya, tindakan melempar tuduhan kononnya wujud “pendakwaan terpilih” atau pendakwaan berbeza terhadap pemimpin politik tertentu secara tidak langsung merosakkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

​”Rayer perlu faham bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang pendakwa raya dan beliau sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk menentukan atau memastikan seseorang itu boleh didakwa semula di mahkamah.

​”Mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan adalah terletak sepenuhnya di tangan Peguam Negara (AG) dan ia dijalankan mengikut budi bicaranya sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Rayer yang secara terbuka mempersoalkan komitmen kerajaan pimpinan Anwar dalam memerangi rasuah ketika membahaskan Belanjawan di Dewan Rakyat, semalam.

​Rayer dilaporkan membangkitkan persoalan tentang status 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid sebelum ini, serta mendakwa situasi berkenaan memberi persepsi timbulnya pendakwaan terpilih berbanding tindakan terhadap pemimpin pembangkang.

​Mengulas lanjut, Mohamad Zaini menegaskan bahawa persoalan asas yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta keperluan penting untuk mengelakkan sebarang campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.

​Tegas beliau, UMNO sentiasa menyokong penuh usaha kerajaan dalam membanteras amalan rasuah dan mempertahankan kedaulatan undang-undang, namun perkara itu mestilah terpakai secara adil termasuk hak seseorang untuk mendapatkan proses kehakiman yang saksama tanpa wujudnya pendakwaan berniat jahat atau berunsur politik.

​”Sebagai sebahagian daripada kerajaan Perpaduan, Ahli-Ahli Parlimen sepatutnya menumpukan perhatian kepada perbahasan Belanjawan 2027 yang membawa faedah tuntas kepada rakyat, bukannya membangkitkan isu yang boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif.

​”Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, bukannya mengikut selera atau persepsi politik mana-mana pihak.

​”Justeru, saya menyeru semua pihak, khususnya rakan kepimpinan dalam kerajaan Perpaduan, supaya kembali fokus kepada agenda pembangunan ekonomi, kestabilan negara dan kebajikan rakyat berbanding memainkan sentimen yang boleh memecahbelahkan konsensus kestabilan hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post ​Kenyataan Rayer cetus kekeliruan, cabar kewibawaan Perlembagaan – UMNO Bentong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved