
PETALING JAYA: Kenyataan beberapa kerajaan Barat berhubung tindakan terhadap penempatan haram Israel perlu disusuli langkah konkrit dan mengikat, bukan sekadar kekal sebagai kenyataan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan pendekatan beberapa kerajaan Barat terhadap pendudukan Israel merupakan perkembangan yang dialu-alukan dan sudah lama dinantikan.
Beliau berkata, kenyataan bersama Menteri-Menteri Luar 12 negara Barat pada 8 September lalu mengenai langkah terhadap penempatan haram Israel, termasuk usaha Britain, Kanada dan Perancis mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan itu, adalah perkembangan penting.
“Saya menyambut baik kenyataan bersama 12 negara Barat mengenai langkah terhadap penempatan haram Israel.
“Britain, Kanada dan Perancis akan membawa langkah untuk mengharamkan perdagangan barangan penempatan, menyertai beberapa negara Eropah yang sudah mengambil langkah sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband, di Dewan Rakyat negara itu sebagai signifikan selepas Britain secara rasmi mengiktiraf ketidakabsahan pendudukan Israel secara keseluruhannya.
Menurutnya, Britain turut mengakui berlakunya pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di beberapa kawasan Tebing Barat oleh kumpulan yang disebut Miliband sebagai ‘pengganas peneroka’.
“Ini merupakan pengiktirafan penting yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan realiti yang dihadapi rakyat Palestin,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan pengiktirafan dan kenyataan tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tegas.
Katanya, kerajaan terbabit perlu menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi yang dimiliki terhadap Israel untuk mendesak penghentian peluasan penempatan haram serta pemindahan paksa rakyat Palestin.
“Kerajaan-kerajaan ini juga perlu mendesak pertanggungjawaban terhadap kemusnahan yang ditimpakan ke atas Gaza serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.
“Masyarakat antarabangsa mesti bergerak melangkaui kenyataan kepada langkah konkrit dan mengikat bagi menegakkan undang-undang antarabangsa, melindungi hak rakyat Palestin serta memastikan keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat,” katanya.-UTUSAN
The post Kenyataan sahaja tidak cukup, barat perlu bertindak terhadap Israel appeared first on Utusan Malaysia.






