Kenyataan seksis: PBM gesa Sanusi mohon maaf

Politics
13 Nov 2022 • 12:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa Datuk Seri Muhammad Sanusi dengan segera dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan kenyataan pemimpin PAS tersebut yang mempersoalkan kemampuan wanita untuk menjadi wakil rakyat.

Presiden Designate PBM Datuk Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata Kenyataan Menteri Besar Kedah itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan jelas bersifat seksis.

“Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah sangat prejudis terhadap golongan hawa dan amat menghina pemimpin- pemimpin wanita.

“Sehubungan itu, kami menggesa Muhammad Sanusi dengan segera dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya wanita serta menarik balik kenyataan menghina berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika gagal berbuat demikian, Zuraida berkata Muhammad Sanusi wajar meletak jawatan sebagai pemimpin negeri kerana pendiriannya terhadap wanita adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri dan dewan penggubal undang-undang yang beliau adalah sebahagian daripadanya.

“Tidakkah beliau sedar Malaysia sangat memandang tinggi peranan wanita di negara ini sehingga Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan turut dipinda pada Julai 2001 bagi menghalang diskriminasi jantina.

“Adakah beliau lupa PAS juga mempunyai beberapa penggubal undang-undang dari kalangan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut meletakkan calon-calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang?

Adakah beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat bermaksud penggubal undang-undang dari kalangan wanita dalam partinya sendiri adalah mereka yang rendah martabatnya berbanding lelaki dan mereka harus menarik diri dari pilihan raya umum kali ini? Adakah beliau baru keluar dari ‘gua’?,” tambah Zuraida.