
NILAI – Pengorbanan ibu bapa yang menggunakan wang hasil menoreh getah untuk membesar dan menyekolahkan anak-anak menjadi pembakar semangat buat Muhammad Ikhwan Naufal Mazelan, 19, untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.
Anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pernah menganggap kepayahan hidup alasan untuk malas belajar sebaliknya menjadikannya kekuatan untuk terus mengejar cita-cita selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 15 September ini.
Katanya, dia mahu memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian itu sebaik mungkin bagi membalas jasa kedua-dua ibu bapanya, Mazelan Abdul Rahman 63 dan Siti Nor Ismail 59.
Baginya, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu amanah besar.
“Melihat jasa dan pengorbanan ibu dan ayah yang selama ini bertungkus-lumus mencari rezeki sebagai penoreh getah demi membesarkan kami adik-beradik menjadi pembakar semangat saya untuk membalasnya.
“Lebih menguatkan tekad saya ialah perjalanan hidup keluarga yang tidak sentiasa mudah apabila bapa pernah berdepan masalah jantung dan strok,”katanya.
Kisah keluarga itu mendapat perhatian menerusi Program Ziarah Kasih apabila Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah mengetuai kunjungan ke kediaman keluarga Ikhwan di Maran, Pahang baru-baru ini.
Dalam kunjungan berkenaan, Ikhwan Naufal menerima sumbangan zakat RM500 daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM serta Bantuan Awal Pendidikan Tinggi daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu persiapannya sebelum memulakan pengajian.
Dr. Mushaddad berkata, latar belakang keluarga dan cabaran kehidupan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang mahasiswa untuk melangkah lebih jauh, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan untuk mengubah masa depan melalui ilmu.
“Jangan pernah rasa rendah dengan keadaan kita hari ini, sebaliknya jadikan setiap kesusahan sebagai kekuatan untuk melangkah lebih jauh untuk mengubah kehidupan,” ujarnya.
The post Kepayahan keluarga bakar semangat untuk belajar appeared first on Kosmo Online.




