BARU-baru ini, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun 2026 telah pun diumumkan yang mana angka pertumbuhannya adalah 5.4 peratus.
Peratusan pertumbuhan ini dilihat melebihi daripada anggaran awal iaitu 5.3 peratus. Kedua-dua enjin pertumbuhan iaitu permintaan domestik dan eksport bersih menokok sebanyak 5.2 peratus dan 13.5 peratus.
Meskipun demikian, angka pertumbuhan ini dilihat perlahan jika dibandingkan dengan 6.2 peratus pada suku keempat tahun 2025.
Justeru, ia membawa kepada persoalan adakah prestasi pertumbuhan ekonomi negara akan terus perlahan memandangkan perang di Iran belum berakhir dan laluan Selat Hormuz masih lagi ditutup.
Setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sekitar 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2026. Kerajaan juga dilihat kekal proaktif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dengan bantuan dikhususkan kepada peniaga dalam bentuk akses pembiayaan dan subsidi bahan api bersasar.
Pihak BNM juga mengekalkan Kadar Dasar Semalaman atau OPR pada paras 2.75 peratus bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Namun, beberapa data terkini yang diumumkan wajar diberi perhatian terutamanya dari sudut mencari sumber pertumbuhan baharu negara.
Sebagai contoh Lebihan Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran dilihat meningkat kepada RM15.2 bilion atau 3.0 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2026.
Nisbah ini adalah tertinggi semenjak tahun 2022. Ia menunjukkan negara banyak mengeksport daripada mengimport.
Komponen terbesar yang menyumbang kepada prestasi ini adalah lebihan dagangan dalam sektor barangan iaitu RM33.6 bilion dan sememangnya komponen ini adalah intipati utama dalam Lebihan Akaun Semasa.
Namun yang menjadi perhatian adalah lebihan dagangan dalam sektor perkhidmatan iaitu RM6.4 bilion pada suku pertama tahun 2026 dan angka lebihan dagangan ini adalah suku yang ketiga yang dicatatkan secara berturut-turut.
Perkara ini banyak disumbangkan oleh eksport perkhidmatan ICT yang dikaitkan dengan pusat data yang telah banyak bercambah.
Sektor teknologi ini bukan hanya lagi tertumpu kepada pengeksportan sektor elektrik dan elektronik tetapi telah mula menular kepada sektor berasaskan perkhidmatan yang telah mengukuhkan imbangan dagangan negara.
Justeru, tidak hairanlah mengapa nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat masih lagi menjadi mata wang yang terbaik di Asia.
Oleh itu, strategi kerajaan untuk meluaskan lagi sumber pertumbuhan telah mula menunjukkan hasil. Sehubungan dengan itu, usaha perlu diteruskan bagi mencari lagi apakah sumber pertumbuhan yang boleh dipupuk.
Oleh itu, sektor perlombongan yang dipelopori oleh sektor minyak dan gas wajar diberi perhatian.
Memandangkan pengeluaran minyak mentah semakin berkurangan di Malaysia maka ada kewajaran menggalakkan syarikat-syarikat untuk mencari peluang dalam industri mineral yang lain.
Sebagai contoh perlombongan emas dilihat berpotensi untuk dikembangkan kerana ia boleh dikaitkan dengan industri seperti Ar-Rahnu iaitu perniagaan pajak gadai Islam yang memberi akses pembiayaan dengan menggadaikan emas.
Meskipun perlombongan emas telah wujud sekian lama di negara ini, namun industri ini perlu dibangunkan secara menyeluruh.
Sudah pasti ia memerlukan kepakaran serta pelaburan yang besar bagi menjadikan ia sebagai industri yang komprehensif dan lengkap dengan perundangan dan tatakelola yang jelas.
Ringkasnya, Malaysia ini mempunyai banyak potensi yang boleh dibangunkan dan pertumbuhan ekonomi yang dijana akan lebih terangkum apabila industri-industri penting ini boleh dibangunkan secara terancang dan telus.
*** Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad





