SHAH ALAM - Kepimpinan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berdepan dengan cabaran besar dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi itu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beberapa isu berprofil tinggi masih menjadi perhatian umum.
"Cabaran yang menanti bukanlah kecil, antara yang paling utama ialah dakwaan yang melibatkan tokoh korporat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan isu kewujudan mafia korporat di dalam SPRM sebelum ini.
"Selain itu, kes-kes yang melibatkan dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei dalam siri pendedahan videonya serta pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kesemua isu berkenaan wajar disiasat dengan adil dan menyeluruh serta perlu didedahkan penemuannya kepada rakyat.
"Pendekatan yang bebas daripada campur tangan serta berlandaskan prinsip keadilan akan menjadi kunci untuk mengembalikan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat," katanya lagi.
Ahmad Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dan berharap amanah besar itu dapat digalas dengan penuh integriti, ketegasan dan kebijaksanaan.
"Semoga kepimpinan baharu ini mampu membawa pembaharuan yang signifikan dan memastikan SPRM kekal sebagai institusi yang dihormati, bebas dan berwibawa," katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei bagi menggantikan Azam yang tamat kontrak pada 12 Mei depan.
Abdul Halim, 69, pernah menggalas jawatan sebagai Peguam kanan Persekutuan di jabatan Peguam Negara dan meneruskan perkhidmatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajibnya pada Mac 2023.






