Kepimpinan berintegriti, kerjasama strategik jadi keutamaan

31 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kepimpinan berintegriti, kerjasama strategik jadi keutamaan

ARAU – Kepimpinan berintegriti, komunikasi berkesan dan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan universiti perlu menjadi keutamaan barisan kepimpinan pelajar bagi memastikan aspirasi serta kebajikan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diberi perhatian.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pemimpin pelajar perlu bertindak sebagai rakan strategik universiti dengan membina hubungan kerjasama erat bersama pihak pengurusan, selain menjadi penghubung dalam menyampaikan suara dan keperluan mahasiswa.

Menurut beliau, perbezaan pandangan antara kepimpinan pelajar dengan pihak pengurusan universiti merupakan perkara biasa, namun kedua-dua pihak perlu mengutamakan komunikasi terbuka dan perbincangan secara konstruktif bagi mencari titik persamaan serta penyelesaian terbaik.

Image from: Kepimpinan berintegriti, kerjasama strategik jadi keutamaan
Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Badan Kepimpinan Pelajar UniMAP Sesi 2026/2027.

Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan pelajar supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh kejujuran, integriti serta komitmen, selain memahami batas bidang kuasa universiti dalam menangani sesuatu isu.

Katanya, tidak semua permasalahan yang dibangkitkan mahasiswa berada di bawah bidang kuasa pengurusan universiti kerana terdapat perkara tertentu yang turut melibatkan pihak dan agensi luar.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemimpin pelajar agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, khususnya ketika menyampaikan pandangan atau membangkitkan sesuatu isu kerana penyalahgunaannya boleh menjejaskan kredibiliti kepimpinan pelajar serta reputasi universiti secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Badan Kepimpinan Pelajar UniMAP Sesi 2026/2027 yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Penyerahan watikah pelantikan melibatkan tiga entiti utama kepimpinan mahasiswa universiti, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) dan Persatuan Pelajar Fakulti (PPF).

Sementara itu, UniMAP mencatatkan kadar penyertaan pengundian sebanyak 83.96 peratus dalam pemilihan kepimpinan pelajar yang berlangsung pada 23 Oktober lepas, sekali gus mencerminkan komitmen dan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan memilih barisan kepimpinan yang bakal mewakili suara serta memperjuangkan kebajikan mereka.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelantikan Muhammad Nizam Ramli daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP bagi sesi 2026/2027.

Majlis penyerahan watikah itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa serta mengiktiraf peranan mereka sebagai rakan strategik universiti, khususnya dalam menyuarakan aspirasi, memperjuangkan kebajikan dan menyumbang kepada pembentukan ekosistem kampus yang harmoni serta progresif.

UniMAP berharap barisan kepimpinan pelajar yang dilantik dapat menggalas amanah dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan mahasiswa dan kecemerlangan universiti.-KOSMO! ONLINE

The post Kepimpinan berintegriti, kerjasama strategik jadi keutamaan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved