Kepimpinan Masa Depan Harus Berakar Pada Ihsan, Tanggungjawab Pada Leluhur - PM

LocalPolitics
4 Feb 2026 • 9:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kepimpinan masa depan tidak boleh dibina atas dasar kebencian atau keangkuhan intelektual, tetapi harus berakar pada ihsan dan rasa tanggungjawab kepada leluhur negara. 

Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerusi wacana pendidikan dan kepimpinan negara kerap kali mengingatkan bahawa kemajuan tidak sekadar menekankan persaingan atau perlumbaan menguasai teknologi baru.

Menurut beliau, kemajuan turut mencakupi persoalan mengenai pemerkasaan insan yang utuh. 

“Seperti yang diingatkan oleh pemikir dan filasuf besar Sepanyol José Ortega y Gasset tentang gejala “barbarism of specialization” yakni ia merupakan satu gejala di mana kita sekadar melahirkan generasi yang hanya mahir dalam bidangnya tetapi tandus dan kontang jiwa, hilang kefahaman mengenai sejarah serta nilai yang membentuk kemanusiaan,” katanya.

image is not available
Gambar PMO

Perdana Menteri memberitahu, perkara itu ditekankan semasa berucap pada program Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) hari ini.

“Pendidikan mesti menjadi wahana yang menjamin keseimbangan di antara kecerdasan intelektual dan adab, antara kemajuan dan pensejarahan bangsa. 

“Sebuah Malaysia yang madani menuntut kita melangkaui sempadan disiplin yang sempit,” katanya.

Beliau menarik perhatian, budaya wacana yang sihat dan kefahaman lintas bidang perlu disemarakkan, demi mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Ini sama ada sains bertemu falsafah, atau teknologi berpadu dengan kemanusiaan. 

“Justeru, universiti harus menjadi ruang yang melarai polarisasi, tidak sekadar kilang melahirkan tenaga kerja, tetapi harus menjadi taman ilmu yang mempertunjuk keluasaan akal fikiran dan nurani yang punyai kesedaran dan kepekaan,” katanya.

Anwar berkata, beliau optimis generasi muda negara memiliki kekuatan untuk menolak pemikiran menyimpang dan yang memicu pertelingkahan. 

Dalam menghadapi arus AI beserta tantangannya, kita mesti mengakar ke bumi sambil menggapi ke langit, dan memastikan kemajuan tidak menjadikan manusia sebagai makhluk yang asing kepada dirinya sendiri,” katanya. - Getaran, 4 Februari 2026