
KEMENTERIAN Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (Kepkas) memberi sokongan sepenuhnya dalam pembikinan filem Agatis: A Borneo Story (AABS).
Dijadualkan memulakan penggambaran antara Ogos dan September tahun ini filem berkenaan dilihat mampu meningkatkan potensi pelancongan hidupan liar di Sabah.
Menterinya Datuk Seri Christina Liew berkata pihaknya memberikan bantuan yang diperlukan melalui agensi di bawah kementerian iaitu Jabatan Hidupan Liar (JHL)Sabah.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ini merupakan filem cereka yang bertujuan untuk melindungi dan meningkatkan kesedaran tentang gajah Pygmy Borneo yang terancam.
“Selain itu karya ini juga akan menjadi filem pertama di Malaysia yang menjalani penggambaran berdekatan dengan haiwan ini di bawah pemantauan,” katanya.
Christina berkata demikian selepas pembentangan projek filem oleh Pengarah Mondo Ab Films Sdn Bhd (MABF) Jeanette Chong Tze Ling baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah JHL Mohd Soffian Abu Bakar. MABF merupakan sebuah syarikat produksi yang berpangkalan di Kota Kinabalu.
Sementara itu Chong berkata sokongan Kepkas merupakan kunci kepada kejayaan AABS.
“Saya berterima kasih kepada menteri atas bantuan peribadinya. Sokongan daripada kementerian dan JHL Sabah akan meningkatkan keyakinan bakal penyumbang dan penaja untuk tampil memberikan sumbangan.
“Filem ini bukan sahaja akan ditayangkan di pawagam tetapi turut disasarkan untuk tayangan di beberapa festival filem,” katanya sambil menambah bahawa inisiatif terbabit dapat menarik minat pembuat filem tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan filem di Sabah.
AABS adalah sebuah filem berdurasi 90 minit yang menampilkan Agatis iaitu seekor gajah Pygmy betina berusia empat tahun dan Aki seekor gajah Pygmy jantan berusia dua tahun dari Pusat Perlindungan Gajah Borneo (Bes) di dalam Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan Hilir.
Seorang budak lelaki yang sesat bernama Dhiren bertemu Agatis di hutan ajaib Borneo di mana mereka membentuk ikatan dan bersama-sama menghadapi ancaman pemburu haram yang tamak untuk melindungi spesies Agatis.
Mengulas tujuan di sebalik penghasilan Agatis: A Borneo Story Chong menekankan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan Gajah Pygmy Borneo serta pentingnya kewujudan bersama melalui medium filem.
Apabila ditanya mengapa Sandakan dipilih sebagai lokasi utama pemilihan pelakon beliau menyatakan ia disebabkan lokasinya berhampiran Kinabatangan yang sesuai untuk pelakon utama dan anak gajah Pygmy menjalin hubungan sebelum penggambaran bermula dengan pemantauan daripada pihak Bes dan penjaga yang tinggal di Kinabatangan.
“Pada bulan Julai kami akan mengadakan sesi uji bakat terbuka untuk kanak-kanak di Sandakan. Kami juga terbuka kepada penglibatan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk tempatan di Kinabatangan,” tambahnya.

