Kepung Demi Palestin: Penganjur pasang semula khemah, jangka tiada masalah

Politics
27 Dec 2023 • 5:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Penganjur Kepung Demi Palestin telah menaikkan semula khemah-khemah, yang diturunkan awal pagi tadi berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini.

Menurut Setiausaha Agung MUDA, Amir Abdul Hadi, pihaknya menjangkakan tiada masalah untuk peserta himpunan berkenaan untuk kekal di situ bersama khemah-khemah terbabit.

“Kita turunkan khemah-khemah pada jam 3.30 pagi tadi. Pagi tadi kita naikkan semula.

“Kita juga dah hantar surat kepada Datuk Bandar dan berurusan dengan Jabatan Wilayah Persekutuan,’’ katanya kepada Scoop hari ini.

Ditanya mengenai program hari ini, Amir berkata, bacaan puisi akan diadakan oleh beberapa aktivis dan ada ucapan pada malam ini.


Awal pagi semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menurunkan khemah dipasang peserta himpunan Kepung Demi Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, awal pagi ini.

Tindakan itu diambil susulan peserta enggan mematuhi nasihat polis supaya tidak memasang khemah untuk bermalam di tepi jalan di kawasan berkenaan kerana ia membahayakan keselamatan.

Menerusi video diterima Scoop, kelihatan beberapa petugas DBKL mengarahkan peserta menurunkan khemah, dengan bekas Ahli Parlimen Batu yang juga jurucakap gabungan penganjur, Chua Tian Chang cuba berbincang dan berkompromi dengan mereka supaya tidak berbuat demikian.

Chua turut dilihat ‘berperang mulut’ dengan seorang individu dipercayai petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung arahan supaya mereka segera menurunkan khemah berkenaan.

Penganjur Himpunan Kepung Demi Palestin, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berkata, antara agenda mereka adalah mendirikan khemah dan bermalam di hadapan Kedutaan AS selama enam hari sehingga 31 Disember ini sebagai tanda solidariti kepada Palestin. — 27 Disember, 2023