'Keputusan bubar DUN Johor tepat, jika lewat berdepan risiko banjir' - Mohamed Khaled

LocalPolitics
2 Jun 2026 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Keputusan bubar DUN Johor tepat, jika lewat berdepan risiko banjir' - Mohamed Khaled
Mohamed Khaled (dua dari kanan) pada sesi ramah mesra bersama pemandu Teksi dan kereta sewa di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini disifatkan tepat kerana negeri ini dijangka berdepan musim tengkujuh pada hujung atau awal tahun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya pilihan raya diadakan hujung tahun, pelaksanaannya berdepan risiko gangguan akibat musim hujan dan banjir yang lazim berlaku di beberapa kawasan termasuk Kota Tinggi.

Menurut beliau, selepas tempoh tersebut, rakyat akan berdepan Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang lazimnya berlangsung dalam tempoh panjang di negeri ini.

“Johor hanya tinggal (beberapa bulan lagi sebelum tamat penggal) patutnya buat pilihan raya negeri bulan April (tahun depan apabila tamat tempoh penggal).

"Kita tahu bulan November, Disember, Januari hujan kan? Banjir di Kota Tinggi ni memang itu (selalu berlaku) dan di tempat-tempat lain, maka sudah tentu tak boleh.

"Kemudian masuk pula bulan Februari, Mac yang merupakan bulan raya (Aidilfitri). Lepas tu Johor ni raya panjang, sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama pemandu Teksi dan kereta sewa di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi pada Selasa.

Sebelum itu pada Isnin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.

Ditanya mengenai, penerimaan kerajaan Perpaduan berhubung pembubaran DUN Johor, Menteri Pertahanan itu menjelaskan, dalam politik baharu, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan dominan.

"Kerajaan Perpaduan masih ada. Jadi mungkin di pusat kerajaannya begini (Perpaduan), mungkin di negeri kerajaannya begini (BN).

“Contohnya di Sabah, Warisan berada dalam kerajaan di pusat tetapi di negeri mereka pembangkang. Di Johor, kerajaan sepenuhnya Barisan Nasional, manakala di Melaka pula ada gabungan pelbagai parti termasuk DAP,” jelasnya.