Keputusan Hapus Subsidi Diesel, Dua Individu Cabar Kerajaan Di Mahkamah

9 Oct 2024 • 1:00 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Dua individu bertindak heret PM Anwar Ibrahim dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali ke mahkamah

Keputusan Hapus Subsidi Diesel, Dua Individu Cabar Kerajaan Di Mahkamah. Dua individu, Azhani Marlan @ Abd Halim dan Mohd Hatta Sanuri, telah mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, ke mahkamah atas dakwaan bahawa keputusan kerajaan menghapuskan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia melanggar hak samarata seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Mereka menyifatkan dasar ini sebagai “tidak logik, tidak rasional, tidak adil, dan berat sebelah,” kerana mendiskriminasikan rakyat di Semenanjung berbanding mereka di Sabah dan Sarawak.

image is not available
Keputusan Hapus Subsidi Diesel, Dua Individu Cabar Kerajaan Di Mahkamah. Gambar sekadar hiasan

Mereka merasa rakyat Semenanjung didiskriminasikan

Menurut mereka, keputusan tersebut menyebabkan kesan domino terhadap kenaikan harga barangan, kos pengangkutan, serta sektor perkilangan dan perkhidmatan, yang akhirnya memberi beban tambahan kepada penduduk di Semenanjung Malaysia.

Azhani dan Mohd Hatta menuntut agar kerajaan mengembalikan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, seperti mana yang dinikmati oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Tindakan mahkamah ini tidak hanya mensasarkan Perdana Menteri dan Menteri KPDN, tetapi juga Menteri Ekonomi dan Menteri Pengangkutan.

Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman telah difailkan semula pada 7 September lalu, dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 29 Oktober sebagai tarikh untuk mendengar kes ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan semasa ucapannya di Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada Mei 2024 bahawa Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada penyasaran subsidi diesel kerana penggunaan diesel yang sangat meluas di kedua-dua negeri tersebut.

Baca juga artikel semasa di bawah: