Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada Malaysia - PM Anwar
azan
27/06/2023 - 18:38
KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang memihak kepada Malaysia selepas menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu.
Keputusan ini sekaligus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan itu, adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekaligus menjadikan tuntutan tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah.
"Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain.
"Sehingga kini, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.
"Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan semua Kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha itu.
"Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.
"Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com


