KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya hanya memohon penjelasan terhadap beberapa perkara dalam penghakiman yang dianggap menyinggung peranan pemimpin terdahulu.
Menurutnya, komitmen kerajaan terhadap hak 40 peratus hasil negeri kepada Sabah adalah muktamad dan tidak pernah dipersoalkan oleh kerajaan Persekutuan.
"Tapi juga ditanya, mengapa kalau begitu kita merayu di mahkamah dalam keputusan itu. Jawapan saya begini, kita tidak merayu kes 40 peratus.
"40 peratus itu sudah muktamad. Tutup kes, tiada perbincangan. Setakat ini, kita telah memberikan jaminan yang jelas dan tegas bahawa ia adalah komitmen yang kukuh.
"Ini merupakan keputusan dasar yang telah saya nyatakan dalam Kabinet dan juga di Parlimen. Tiada rundingan lagi. Kita komited untuk menghormati komitmen 40 peratus kepada rakyat Sabah. Titik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Ahad.
Jelasnya Anwar lagi, tindakan itu bukan bertujuan mencabar hak 40 peratus Sabah, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan terhadap beberapa kenyataan dalam penghakiman yang dilihat mempertikai peranan pemimpin Persekutuan dan negeri pada masa lalu.
"Tetapi dalam keputusan penghakiman itu ada isu yang menyinggung dan malah mempertikai peranan pemimpin-pemimpin Persekutuan sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan pimpinan negara yang besar.
"Termasuk juga pemimpin Sabah seperti Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens, Harris Salleh dan Datuk Seri Pairin Kitingan, iaitu pemimpin yang dipilih oleh rakyat Sabah," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan berpendapat beberapa kenyataan dalam penghakiman berkenaan tidak wajar dan perlu diperjelaskan melalui proses mahkamah.
"Bagi kita, penyataan dalam keputusan penghakiman itu tidak wajar. Jadi kita bawa ke mahkamah untuk minta diperjelaskan, apakah ini menyinggung 40 peratus? Tidak timbul sama sekali.
"40 peratus itu selesai, sudah selesai. Kita tidak akan mempertikaikannya," katanya.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa tindakan kerajaan memfailkan permohonan tersebut sebagai penghinaan terhadap rakyat Sabah.
Menurutnya, kenyataan dalam penghakiman yang dianggap tidak objektif itu sebenarnya turut menyentuh kredibiliti pemimpin besar negara dan negeri.
"Ada yang berkata ini menghina kebijaksanaan rakyat Sabah, bagi saya tidak betul kerana yang dihina itu bukan sahaja pemimpin-pemimpin besar negara, tetapi juga pemimpin-pemimpin besar negeri.
"Kita hanya mahu betulkan perkara itu dalam rekod kerana kita tidak bersetuju dengan keputusan penghakiman yang saya fikir tidak objektif, terlalu kuat sentimen dan rasakan politiknya," katanya.

