Keputusan pilih Shin Yang Shipyard sambung bina 2 kapal OPV APMM selamatkan aset negara

LocalPolitics
27 Jun 2025 • 10:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keputusan pilih Shin Yang Shipyard sambung bina 2 kapal OPV APMM selamatkan aset negara

image is not available

27/06/2025 - 10:35

Kapal OPV sangat diperlukan APMM bagi melaksanakan rondaan dan operasi untuk tempoh lebih lama. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Keputusan kerajaan memilih Shin Yang Shipyard Sdn. Bhd. bagi menyambung semula projek pembinaan kapal peronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak mengejutkan.

Ia menandakan komitmen serius Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan projek bernilai tinggi ini kembali pada landasan asal.

Kerajaan mengumumkan penganugerahan surat hasrat (LOI) kepada Shin Yang Shipyard pada LIMA 2025 lalu.

Projek OPV APMM dimulakan dengan hasrat memperkukuh keupayaan pengawasan maritim negara melalui pembinaan tiga kapal berdasarkan reka bentuk Damen 1800.

image is not available

Malangnya, projek itu mencetuskan kontroversi apabila kontraktor asal, THHE Destini Sdn. Bhd. gagal menyiapkan kapal-kapal mengikut jadual.

Kerajaan telah menganugerahkan kontrak tersebut yang bernilai sebanyak RM740 juta.

Setakat ini, hanya satu kapal OPV 1 berjaya diserahkan iaitu KM Tun Fatimah, itu pun selepas campur tangan kerajaan.

Dua lagi kapal, OPV2 dan OPV3, masih tertangguh dengan kemajuan pembinaan masing-masing sekitar 76% dan 57%.

image is not available
Shin Yang Shipyard berjaya membina kapal pendarat untuk Tentera Laut Emiriah Arab Bersatu.

image is not available

Kegagalan ini bukan sahaja mengundang kritikan politik, malah memberi kesan langsung kepada kesiapsiagaan APMM yang merupakan agensi barisan hadapan dalam keselamatan perairan negara.

Sebagai langkah pemulihan, kerajaan memilih Shin Yang Shipyard, anak syarikat Shin Yang Group Berhad berpangkalan di Miri, Sarawak, untuk mengambil alih projek sakit ini.

Walaupun belum ada pengumuman lanjut susulan LOI termasuk gerak kerja yang bakal dimulakan, namun jika melihat di atas kertas Shin Yang Shipyard mampu melaksanakan tugas tersebut.

Ini kerana Shin Yang bukan pendatang baru dalam industri pembinaan kapal.

Ditubuhkan pada 1999, syarikat ini memiliki rekod kukuh termasuk pembinaan dua kapal pendarat untuk Tentera Laut Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing sepanjang 80 meter.

image is not available

image is not available

Selain itu, Shin Yang juga telah diberi kepercayaan menaik taraf kapal ronda pesisir APMM, KM Banggi, dalam kontrak bernilai RM60 juta.

Projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan, melibatkan kerja-kerja repowering dan refit menyeluruh.

Shin Yang mengoperasikan limbungan yang mampu membina sehingga 40 kapal setahun.

Ia lengkap dengan kemudahan dok terapung sepanjang 160 meter dan pelbagai fasiliti teknikal yang menyokong pembinaan serta pembaikan kapal bersaiz besar.

image is not available
Projek pembinaan OPV 1 mengambil masa yang lama disebabkan kelewatan.

image is not available
Badan kapal dipercayai OPV 2 yang masih belum siap (gambar media sosial).

Justeru, keputusan kerajaan menyerahkan projek OPV ini kepada Shin Yang dilihat sebagai langkah strategik untuk mengelakkan kerugian lebih besar.

Pada masa sama dengan keupayaan yang ada ia mempercepat pembinaan aset penting APMM ini.

Langkah ini dilihat sebagai mesej jelas bahawa kerajaan tidak lagi mahu melihat projek pertahanan negara terus gagal atas kelemahan kontraktor.

Aset seperti OPV bukan hanya simbol keselamatan, tetapi keperluan kritikal dalam mengawal sempadan laut negara yang terdedah kepada ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Pemulihan projek OPV ini juga diharap mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap industri pembinaan kapal tempatan yang sebelum ini tercalar akibat kelewatan dan kegagalan.

image is not available

Dengan LOI yang diumumkan pada LIMA 2025, kerajaan sekali lagi menunjukkan ketegasan dalam memastikan setiap sen wang rakyat digunakan untuk projek yang memberi impak besar kepada keselamatan negara.

Kini, harapan tertumpu kepada Shin Yang Shipyard untuk menepati janji dan menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Ini untuk memastikan OPV2 dan OPV3 siap dan beroperasi demi menjaga perairan Malaysia. - DagangNews.com

standard

View Original Article