Keputusan rayuan Najib gugur peguam wakili Tommy Thomas pada 11 Ogos

Politics
11 Jul 2023 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Najib

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam perbicaraan saman RM1.9 juta oleh bekas perdana menteri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah berkata mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah dan kes-kes yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam saman itu.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib dan peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung, yang merupakan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam samannya (Najib).

Beliau mendakwa, tidak wajar Gomez dan Lai mewakili Thomas kerana mereka dari firma guaman yang sama dengan Thomas.

Najib menyaman Thomas dengan mendakwa telah dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Pada 25 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib yang difailkannya terhadapnya (Thomas). Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman akan didengar pada 4 Oktober.

Beliau mempersoalkan sama ada peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mengekalkan kebebasan profesional itu dan berhujah bahawa peguam dari firma guaman yang sama tidak seharusnya mewakili rakan kongsi, perunding atau peguam lain dalam perkara yang menjadi perbalahan.

Thomas ialah pengasas firma guaman. Beliau menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

Firoz berkata, Thomas mempunyai kepentingan kewangan di firma guaman itu, sambil menambah bahawa dengan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bertindak untuknya (Thomas), ia akan mewujudkan konflik kepentingan.

Sementara itu, Gomez membalas dengan mengatakan Thomas, sebagai perunding dalam firma itu, tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma tersebut.

Najib hadir dalam perbicaraan rayuannya hari ini. Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Datuk Mohamad Nazifuddin turut menghadiri prosiding itu.

Peguam lain yang turut mewakili Najib dalam rayuan itu ialah Daniel Annamalai, Woo J Enn dan Melody Tham Cheng Yee manakala Lai dan Haikaldin Mahyidin juga mewakili Thomas. - Bernama.