KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat bagi keputusan berhubung saman pemula (OS) yang difailkan M Indira Gandhi dan 13 yang lain untuk mencabar kesahihan undang-undang negeri berkaitan penukaran agama secara unilateral.
Berdasarkan sistem kehakiman, keputusan akan dibuat Hakim, Datuk Aliza Sulaiman dalam prosiding secara dalam talian pada jam 3 petang.
Sementara itu, berdasarkan kenyataan peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memohon semua pihak memanjatkan doa supaya peruntukan enakmen/ Akta Pentadbiran Agama Islam tersebut dapat dipertahankan.
Indira dan 13 yang lain sebagai plaintif, memfailkan saman itu pada Mac 2023, untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral di enam negeri yang melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, serta Wilayah Persekutuan.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula itu.

