Keputusan sukar demi rakyat

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

LANGKAH Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mengurus lonjakan kos bahan api global mencerminkan ketegasan kepimpinan yang mengutamakan kesejahteraan masa depan negara.

Pendekatan itu dilihat tidak sekadar mengejar populariti jangka pendek, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan asas ekonomi lebih mampan bagi mengelakkan beban kewangan yang lebih parah kepada generasi akan datang.

Dalam masa sama, naratif yang dibawa jelas menunjukkan setiap keputusan sukar hari ini dibuat demi menjamin ketahanan negara pada masa depan.

Namun, bagi memastikan rakyat terus bersama dalam visi berkenaan, pendekatan yang digambarkan sebagai 'jambatan ihsan' perlu diperkukuhkan agar dasar makro kerajaan dapat diterjemahkan secara lebih berkesan kepada realiti kehidupan harian rakyat.

Antara langkah yang boleh diperhalusi ialah penyelarasan kuota subsidi secara bersasar.

Had 200 liter untuk BUDI95, misalnya, mungkin memberi cabaran kepada segmen tertentu, justeru sistem rayuan atau semakan data penggunaan yang lebih anjal wajar dipertimbangkan bagi memastikan golongan memerlukan mobiliti tinggi tidak terbeban secara tidak adil.

Selain itu, cadangan mewujudkan 'mekanisme penampan automatik' juga dilihat relevan.

Mekanisme ini membolehkan bantuan tunai tambahan disalurkan secara terus kepada golongan sasaran apabila kos insurans global atau risiko rantaian bekalan meningkat melepasi paras kritikal.

Dari sudut pasaran pula, kawalan harga dan penguatkuasaan bersepadu perlu diperkasakan.

Ini bagi memastikan peningkatan kos logistik global tidak dijadikan alasan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah.

Pada masa sama, komunikasi yang berteraskan empati dan ketelusan turut memainkan peranan penting.

Penjelasan berkaitan kos insurans dan isu Selat Hormuz perlu disampaikan dalam bentuk lebih mudah difahami supaya rakyat jelas bahawa setiap penjimatan hari ini disalurkan semula kepada pembangunan kemudahan awam dan jaringan keselamatan sosial.

Secara keseluruhan, pendekatan diambil Perdana Menteri mencerminkan usaha memastikan kestabilan negara pada masa hadapan.

Dengan pengukuhan aspek bantuan serta pengawasan harga yang lebih menyeluruh, rakyat dijangka lebih bersedia untuk berkongsi tanggungjawab, selaras dengan matlamat membina masa depan lebih stabil dan bermaruah.