Keputusan Syed Saddiq bebas atau penjara tujuh tahun pada Jun depan

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keputusan Syed Saddiq bebas atau penjara tujuh tahun pada Jun depan
Penentuan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau dihukum penjara akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di sini pada 30 Jun depan.

PUTRAJAYA – Penentuan sama ada bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal bebas atau dihukum penjara atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di sini pada 30 Jun depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin selaku perayu mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.

Pada 11 Disember lalu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim, mendengar rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar itu.

Panel berkenaan turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Kes itu berkait dengan sabitan dan hukuman penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan terhadap Syed Saddiq atas empat pertuduhan penyelewengan dana Armada.

Minggu lalu, Syed Saddiq memberi bayangan bahawa hari bahagianya bersama tunang yang juga pelakon, Bella Astillah semakin hampir.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.