
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penerbit filem KONSPIRASI, Elepfilm Entertainment sebentar tadi (31 Mei) menjelaskan bahawa keputusan untuk menghentikan tayangan filem ini di pawagam dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berdasarkan situasi semasa.
Pihak pengurusan Elepfilm Entertainment menerusi satu kenyataan berkata, keputusan tersebut diambil secara dalaman oleh pihak pengurusan.
Henti tayang bukan atas tujuan publisiti atau marketing juga tidak dipengaruhi mana-mana pihak – Penerbit Konspirasi
Tegas mereka lagi keputusan menghentikan tayangan itu juga bukan atas tujuan publisiti atau strategi pemasaran. Pada masa sama, tiada mana-mana pihak yang mempengaruhi keputusan berkenaan.
Mohon Hentikan sebarang spekulasi
“Elepfilm Entertainment memohon agar semua pihak menghentikan sebarang spekulasi, andaian atau penyebaran maklumat yang tidak sahih. Pihak Elepfilm Entertainment menghargai segala maklum balas, sokongan dan pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak berhubung tayangan filem Konspirasi.”
Pihak penerbitan dalam masa sama berharap para penonton akan terus memberikan sokongan kepada tenaga kreatif yang terlibat dalam filem KONSPIRASI serta industri perfileman tempatan secara keseluruhannya.

Tayangan konspirasi sudah ditamatkan pada 28 Mei, tayangan di Singapura berjalan seperti biasa
Semalam (31 Mei) Elepfilm mengumumkan bahawa filem aksi-thriller itu telah ditamatkan tayangannya di seluruh rangkaian pawagam Malaysia berkuat kuasa pada 28 Mei 2026 yang lalu.
Namun, syarikat itu menjelaskan tayangan filem KONSPIRASI di seluruh pawagam Singapura dan negara lain tidak terjejas, serta masih berjalan seperti biasa.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan pemberhentian tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara adalah permintaan pihak penerbit, bukan disebabkan arahan pihak lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib pula, pengendali pawagam memaklumkan mereka menerima arahan rasmi daripada pengedar filem Konspirasi untuk menghentikan tayangan.
Tambah Azmir, semakan dengan Bahagian Wajib Tayang dan pengendali pawagam mendapati keputusan memberhentikan tayangan naskhah itu dibuat penerbit, Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films, lapor
Namun menurut FINAS, pihak penerbit tidak dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.
Sebagai info Konspirasi dibintangi Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan ramai lagi.
Baca Artikel Berkaitan: https://buzzkini.my/hiburan/2026/05/29/tayangan-konspirasi-dihentikan-atas-permintaan-penerbit-finas/






