Keputusan undian Alberta bantu Carney hadapi ancaman Trump

WorldPolitics
22 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan undian Alberta bantu Carney hadapi ancaman Trump

OTTAWA: Keputusan lebih dua pertiga pengundi Alberta untuk kekal sebagai sebahagian daripada Kanada memberi sokongan politik kepada Perdana Menteri, Mark Carney ketika negara itu berusaha menghadapi perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden, Donald Trump.

Keputusan awal referendum yang diadakan pada Isnin menunjukkan majoriti besar pengundi di wilayah paling kaya Kanada itu menolak pemisahan, sekali gus mengukuhkan kedudukan politik Carney dalam menghadapi tekanan dari luar.

Albert yang memiliki sebahagian besar rizab minyak Kanada serta kekayaan gas dan mineral yang melimpah, memainkan peranan penting dalam usaha Ottawa mempelbagaikan perdagangan, memperkukuh ekonomi dan menjalin kerjasama baharu dengan negara di rantau lain bagi mengurangkan kesan perang perdagangan dengan AS.

Mengulas keputusan referendum itu selepas kemenangan kempen mengekalkan Alberta dalam Kanada semakin jelas, Carney berkata, penduduk memilih perpaduan, untuk membina bersama-sama dan saling menjaga antara satu sama lain.

Bekas ahli politik yang mengetuai kempen Forever Canadian dan memainkan peranan penting dalam keputusan referendum itu, Thomas Lukaszuk berkata, keputusan itu akan menghantar mesej yang sangat kuat kepada seluruh dunia.

Amaran itu ditujukan kepada negara jiran Kanada di selatan, khususnya Trump, yang berulang kali mengancam untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS.

Pada hari yang sama ketika penduduk Alberta mengundi mengenai masa depan wilayah itu dalam Kanada, Trump turut menyampaikan mesej kepada negara jiran berkenaan ketika berucap pada satu perhimpunan di Kansas menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS bulan depan.

“Saya akan membenarkan anda terus bermain hoki ais dan menyanyikan lagu kebangsaan ‘O Canada’. Kami hanya bergurau,” katanya.

Bagi rakyat Kanada, perkara itu bukan bahan gurauan.

Menjelang referendum, Carney berulang kali memberi amaran tentang pihak di luar sempadan yang berusaha memecahbelahkan Kanada supaya mereka dapat menguasai negara itu, meskipun beliau tidak menyatakan secara jelas pihak yang dimaksudkannya.

Dalam kalangan penyokong pemisahan Alberta, beberapa pemimpin utama juga tidak menyembunyikan hala tuju mereka. 

Sebahagian daripada mereka mengakui melakukan tiga lawatan ke Washington tahun lalu untuk bertemu pegawai Jabatan Negara AS bagi membincangkan tawaran yang boleh diberikan Alberta sekiranya menjadi wilayah merdeka, termasuk kemungkinan membina saluran paip minyak merentasi AS ke Lautan Pasifik.-AGENSI

The post Keputusan undian Alberta bantu Carney hadapi ancaman Trump appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved