Kerabat dikait kontrak parkir, Amirudin tegaskan syarikat dinilai atas merit

LocalPolitics
22 Nov 2025 • 9:40 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan tiada salahnya institusi diraja terlibat atau bertindak sebagai penaung kepada syarikat yang menerima konsesi di bawah inisiatif kerajaan negeri untuk menswastakan tempat letak kereta.

Beliau berkata, faktor utama yang harus diberi perhatian adalah kebolehan syarikat berkenaan untuk menambah nilai dengan menyediakan kemudahan parkir yang lebih baik dan berdaya saing.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat (dalam membuat saringan pemilihan syarikat) sebab telah serahkan kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

“MBI melakukan proses saringan dan proses saringan itu tidaklah menyemak sampai siapa ‘the real owner’ dan sebagainya.

“Kalau syarikat terbabit mempunyai keupayaan itu, saya rasa tidak menjadi kesalahan pula untuk institusi raja terlibat mungkin sebagai penaung pihak yang terbabit,” katanya ketika ditanya media selepas merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025, semalam.

Terdahulu, Kumpulan anti-rasuah Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 Centre) dalam satu kenyataan mendakwa pentadbiran negeri bukan sahaja mendiamkan diri mengenai isu tersebut, malah didakwa cuba menyekat akses awam kepada dokumen-dokumen utama berkaitannya.

Kumpulan itu turut mengulas laporan portal Malaysiakini berhubung seorang kerabat diraja Selangor dikaitkan dengan sebuah syarikat yang dianugerahkan tiga konsesi setakat ini di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk menswastakan tempat letak kereta.

Laporan itu mendedahkan pegangan 16.5% Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam Selmax Sdn Bhd, yang setakat ini telah menerima tiga konsesi menerusi Skim Parkir Pintar Selangor (SIP).

Projek itu mendapat perhatian selepas laporan bahawa satu konsesi tambahan, Selmax Sdn Bhd, telah dibawa masuk tidak lama selepas Rantaian Mesra Sdn Bhd diumumkan sebagai operator asal pada 9 Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, Bursa Malaysia pada 15 Julai menunjukkan Selmax telah memperoleh konsesi jangka panjang daripada beberapa pihak berkuasa tempatan, menimbulkan persoalan mengenai potensi konflik kepentingan dan ketelusan. - 22 November, 2025

The post Kerabat dikait kontrak parkir, Amirudin tegaskan syarikat dinilai atas merit appeared first on Scoop.