
SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu berhubung kejadian keracunan makanan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 buah sekolah rendah pada 8 Jun lalu.
Pengarah JKNS, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, mana-mana individu terbabit atau berkaitan dengan kejadian itu yang mengalami gejala diminta agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak dingini.
"JKNS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu yang telah menyebabkan dua kematian daripada 247 individu yang terdedah dengan 82 individu dilaporkan mempunyai gejala.
"Antara individu yang terlibat ialah urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga berumur di antara setahun tujuh bulan hingga 58 tahun dengan gejala utama yang dilaporkan ialah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya," katanya.

Dr Umi Kalthom berkata, bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa yang dibekalkan kepada guru-guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar disyaki menjadi punca kepada keracunan makanan.
Menurut beliau seramai 28 individu telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes yang dimasukkan ke wad.
Dr Umi Kalthom berkata, sampel makanan pada hari kejadian telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
Beliau turut menasihatkan penganjur program dan orang awam agar berhati-hati dalam memillh premis dan pembekal makanan yang bersih sementara pengendali makanan pula perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman bagi mengelakkan kejadian penyakit atau wabak keracunan makanan.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusaha 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lepas.
Manakala mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi kelmarin. - BERNAMA

