Kerajaan Akan Bangunkan Portal Permintaan Dan Penawaran Buruh

27 Feb 2023 • 8:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Melalui portal yang bakal dibangunkan itu, semua pihak dapat mengetahui jumlah pekerja yang diperlukan dari segi penawaran dan permintaan. - Gambar hiasan

SEPANG - Malaysia bercadang membangunkan portal permintaan dan penawaran buruh dengan negara sumber pekerja asing bagi memudahkan interaksi berhubung pengambilan pekerja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata melalui portal yang bakal dibangunkan, masing-masing dapat mengetahui jumlah pekerja yang diperlukan dari segi penawaran dan permintaan dalam sektor strategik, pembinaan dan pembuatan umpamanya.

image is not available
Saifuddin Nasution Ismail

"Interaksi dua hala menerusi portal berkenaan adalah antara teknologi digital yang perlu dimanfaatkan bagi melakukan perbincangan selain perlu bersemuka," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemudahan pintu pagar automatik untuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga bersedia mengintergrasikan teknologi blok rantai yang dikatakan lebih telus terutama dalam pengurusan pekerja asing seperti saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Pihak KDN dan KSM bersedia mengguna pakai semua bentuk teknologi digital dan maklumat termasuk sistem block chain bagi memudahkan urusan berhubung perkara berkenaan (pengurusan pekerja asing),” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan teknologi blok rantai bagi perkhidmatan berkaitan dengan bidang tugas KDN. -  Bernama