Kerajaan bakal lancar Chatbot tangkis berita palsu

LocalTechnology
21 Jan 2025 • 10:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fahmi (berdiri) menyampaikan ucapan semasa Majlis Makan Pagi Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan Ketua-ketua Biro Media Kelantan pada Selasa.

KOTA BHARU - Kerajaan akan melancarkan Chatbot di WhatsApp dalam masa terdekat bagi menangkis penularan berita palsu di aplikasi berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha penambahbaikan kepada portal Sebenarnya.my.

"Orang ramai yang kurang pasti dengan satu-satu berita boleh panjangkan perkara itu kepada Chatbot.

"Jadi Chatbot yang menggunakan AI atau kecerdasan buatan akan memberikan respon kepada pertanyaan tersebut sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya," katanya kepada pemberita semasa Majlis Makan Pagi Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan Ketua-ketua Biro Media Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, peringkat awal ia berfungsi untuk mesej dalam bentuk teks sahaja.

Ujarnya, selepas itu Chatbot akan dinaik taraf untuk kandungan video dan grafik.

"Jadi saya harap orang ramai lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu mesej yang diterima," katanya.