Kerajaan belum menerima maklumat terkini daripada pihak berkuasa kesihatan mengenai ancaman virus baharu, metapneumovirus (hMPV), yang dilaporkan sedang menular di China.
Memetik laporan dari Media Selangor, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memaklumkan bahawa pihak kementerian memantau perkembangan virus yang menyerang sistem pernafasan itu secara dekat dan menasihatkan masyarakat agar tidak bimbang.
“Kami belum menerima maklumat terkini. Jika ada pengesahan, saya akan mengeluarkan kenyataan akhbar atau mengadakan sidang media.
“Setakat ini, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) belum memberikan makluman terkini kepada saya mengenai virus itu di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beberapa hantaran tular mendedahkan negara China ketika ini sedang berdepan dengan ancaman hMPV dan menyaksikan kesesakan hampir di semua hospital.
Gelombang tersebut dikatakan menyerupai gelombang COVID-19 beberapa tahun lalu.
Jangkitan pernafasan itu dilaporkan banyak berlaku di wilayah utara China, dengan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun.
Antara gejala penyakit ini ialah batuk, demam, hidung tersumbat, dan nafas berbunyi seperti wisel.
The post ‘Kerajaan belum terima maklumat terkini virus baharu dari China’ – Menteri Kesihatan appeared first on The Reporter.




