Kerajaan beri kelonggaran bagi semua projek kecil penyelenggaraan bernilai sehingga RM1 juta kepada negeri, daerah - MOF

20 Jun 2023 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan beri kelonggaran bagi semua projek kecil penyelenggaraan bernilai sehingga RM1 juta kepada negeri, daerah - MOF

zulfadli

20/06/2023 - 14:28

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran dalam urusan perolehan kerja di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua kementerian/agensi pelaksana sehingga peringkat negeri serta daerah dengan nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri/daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik (termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran).

Katanya, pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh ketua jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat agensi pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.

"Ini termasuk mewujudkan satu pasukan pemantau projek sama ada di peringkat negeri atau daerah dengan penglibatan beberapa agensi/pegawai dari pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan.

"Kelonggaran ini berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023. Ini bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa," katanya.

Seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan telah menekankan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana rakyat terutamanya projek sekolah dan klinik daif.

"Kerajaan Perpaduan akan terus mempertegak dan berpegang pada prinsip tatakelola baik dalam pentadbiran. Pada masa yang sama, kerajaan akan terus memastikan perolehan kerajaan khususnya melibatkan projek-projek cakna rakyat seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah daif, klinik daif, jalan-jalan berlubang akan dilaksanakan pada kadar segera," katanya.

MOF berkata, selaras dengan itu, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang terkini telah memutuskan supaya projek-projek berskala kecil di seluruh negara dipercepatkan.

Selain itu katanya, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan oleh semua kementerian/agensi pengguna sehingga ke peringkat negeri dan daerah.

"Had nilai sebut harga perolehan kerja ditingkatkan kepada RM1 juta daripada RM500,000 dan had perolehan secara cabut undi ditingkatkan kepada RM200,000 daripada RM100,000," katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas untuk sama-sama terlibat dalam melaksanakan projek berskala kecil, kerajaan juga memperkenalkan kemudahan pembiayaan secara 'financial close' bagi memastikan kontraktor tiada masalah aliran tunai dan kerja disiapkan mengikut jadual.

Butiran lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Pertanyaan lanjut berkenaan AP182 boleh dipanjangkan kepada dasar.bpk@mof.gov.my atau hubungi talian 03-8882 3232/4476/3225. - DagangNews.com