KOTA BHARU - Kerajaan memberi perhatian khusus kepada isu pakaian lokap aurat tahanan wanita Muslim sebagaimana yang disuarakan oleh warganet baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, isu melibatkan aurat merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama.
"Berkenaan dengan aurat kita tidak ada kompromilah. Itu adalah hukum ya, wajib menutup aurat kepada semua.
"Kita menyerulah semua pihak, tidak semestinya pihak yang berkaitan saja, semua pihak dalam apa keadaan sekalipun, bagaimana kita rasa terdesak sekalipun, aurat ataupun syariat ALLAH perlu kita pertahankan, perlu kita tegakkan," katanya pada sidang media, Khamis.
Beliau sebelum itu menyantuni pelajar tadika yang menyertai kursus haji cilik di Masjid Jamek Muhammadi di sini.
Marhamah berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk membuat penambahbaikan.
"Insya-ALLAH kita akan bincangkan. Kita akan serahkan kepada pihak agensi untuk menguruskan dengan pihak agensi yang terlibat," katanya.
Sebelum ini, warganet mempersoalkan pakaian lokap seorang guru yang direman di mahkamah berhubung kes merempuah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di sini pada 13 April lalu.






