
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa keputusan UMNO untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di Perak adalah suatu resipi untuk bencana (recipe for disaster).
“Tindakan ini mengesahkan cakap-cakap sebelum pilihan raya bahawa pemimpin UMNO sedang mengusahakan sesuatu bentuk jajaran baharu dengan PH semata-mata untuk kekal berkuasa.
“Kami juga tertanya-tanya di manakah keputusan Perhimpunan Agung UMNO ‘No Anwar, No DAP?” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.
Difahamkan, PN Perak akan tetap dengan pendiriannya untuk menjadi pembangkang sekiranya kerajaan negeri dapat dibentuk dengan parti politik yang sedia menerima prinsip perjuangan PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil.
“PN Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada parti DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah,” ujarnya lagi.
Hari ini, media melaporkan PH Perak mengesahkan BN dan PH akan membentuk kerajaan baharu di negeri tersebut.
Menurut kenyataan itu, gabungan tersebut dilakukan demi kepentingan rakyat serta negara dan oleh itu, maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang telah diadakan pada 19 Nov 2022,” menurut kenyataan itu.
Keputusan PRU15 di Perak menyaksikan Perikatan Nasional berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak baharu pada petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Istana Perak Mohd Annuar Zaini.
Sumber: Faizal Azumu via Facebook
The post Kerajaan BN-PH Perak: Di Mana ‘No Anwar No DAP UMNO? – Peja appeared first on Siakap Keli.
