
KUALA LUMPUR 3 Dis – Kerajaan bercadang mewajibkan pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi pusingan bidaan seterusnya projek Loji Solar Skala Besar (LSS) dalam usaha meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan bekalan tenaga negara.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata keperluan itu akan menjadi sebahagian daripada spesifikasi projek LSS akan datang.
“Ia adalah hasrat kerajaan bahawa apabila kita melaksanakan LSS seterusnya, projek-projek ini dijangka hadir bersama atau diwajibkan memasang BESS sebagai sebahagian daripada sistem mereka,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
BESS merupakan sistem bateri berskala besar yang berfungsi menyimpan lebihan elektrik dan melepaskannya semula apabila diperlukan bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil.
Akmal Nasrullah berkata, projek perintis BESS yang sedang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Bhd kini berada dalam fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2026.
Pada masa sama, Suruhanjaya Tenaga (EC) telah melancarkan bidaan terbuka Malaysia Battery Energy Storage Technology (MyBEST) melibatkan kapasiti 400MW/1,600MWh bagi kegunaan utiliti.
“Suruhanjaya Tenaga telah melengkapkan proses penilaian bagi tender terbuka MyBEST untuk sistem penyimpanan tenaga. Keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Bagi memastikan penggunaan teknologi bateri kekal mesra alam dan tidak memburukkan isu pelupusan bateri terpakai, Akmal Nasrullah berkata kementerian telah menetapkan beberapa kawal selia alam sekitar yang ketat.
Antaranya termasuk keperluan kepada pihak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk menggariskan kaedah pembongkaran, penyahtauliahan, pelupusan dan kitar semula mengikut undang-undang tempatan.
Ia juga merangkumi pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling serta Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, selain pelaksanaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan kewajipan kitar semula komponen bateri.
Dari aspek keselamatan, beliau berkata semua pemasangan BESS perlu mematuhi keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di bawah piawaian NFPA 855, selain mematuhi standard antarabangsa seperti IEC 62619 dan UL 9540 bagi meminimumkan risiko kebakaran atau letupan.
Akmal Nasrullah menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN—Jempol) berhubung status terkini projek BESS, langkah kerajaan memastikan teknologi itu kekal mesra alam, pengurusan pencemaran sisa bateri terpakai serta aspek keselamatan. - DagangNews.com


