hamden14/05/2026 - 18:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Mei - Kerajaan bercadang mewujudkan satu institusi Ombudsman di bawah undang-undang baharu kelak sebagai pusat tunggal bagi semua aduan dan pendedahan pemberi maklumat, menurut Jabatan Perdana Menteri.
Kewujudan institusi khusus bukan sahaja dapat menutup ruang kebocoran maklumat, namun turut memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat di negara ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM, Nur Faiza Iskak berkata langkah tersebut bertujuan memperkemas pengurusan maklumat sensitif serta mengelakkan pendedahan tidak terkawal.
“Ini akan menjadi langkah kawalan untuk mengelakkan kebocoran maklumat, khususnya berkaitan pendedahan aduan,” katanya pada sesi meja bulat bersama dewan perniagaan, di sini pada Khamis.
Ketika ini, aduan pemberi maklumat boleh dikemukakan terus kepada pelbagai agensi penguat kuasa yang beroperasi di bawah perundangan masing-masing.
Bagaimanapun, kerajaan mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan pemberi maklumat berhubung isu keselamatan dan risiko tindakan balas, selain “defisit kepercayaan” terhadap sistem sedia ada.
Di bawah cadangan baharu itu, Ombudsman akan menapis setiap pendedahan sebelum merujuk kes berkenaan kepada agensi penguat kuasa. Agensi hanya akan menerima maklumat berkaitan kesalahan seperti rasuah atau salah laku tanpa maklumat identiti pemberi maklumat.
Ombudsman juga akan diberikan kuasa untuk menjalankan siasatan sendiri di bawah rang undang-undang yang bakal diperkenalkan.
Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia di Parlimen menjelang hujung tahun ini, yang akan menubuhkan institusi tersebut secara rasmi.
Institusi baharu itu akan menggantikan Biro Aduan Awam yang mengendalikan aduan terhadap agensi kerajaan serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang menyelia aduan salah laku membabitkan agensi penguat kuasa.
Dalam pada itu, kerajaan menyasarkan syarikat swasta melaksanakan mekanisme dalaman wajib bagi pemberi maklumat menjelang 2027.
Reformasi berkenaan turut membolehkan platform pihak ketiga bebas yang disahkan menerima serta memproses aduan pemberi maklumat sebagai saluran alternatif bagi mereka yang enggan membuat laporan melalui saluran dalaman. - DagangNews.com






