Kerajaan didesak tutup aplikasi InDrive, Maxim beroperasi haram, kata persatuan P-hailing

06/05/2025 - 17:18
GAMBAR HIASAN Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 6 Mei — Kerajaan digesa supaya bertindak menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing dari Rusia, iaitu InDrive dan Maxim termasuk menutup akses platform kerana didakwa beroperasi secara haram.
Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) berkata, kedua-dua platform secara dalam talian itu didapati terus menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan di bawah akta sedia ada.
Antaranya operator berkenaan didapati tidak pernah langsung memastikan pemandu-pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, sebagaimana telah diwajibkan oleh undang-undang negara ini.
"Ia bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang memiliki lesen PSV sah, malah menjejaskan keselamatan penumpang jika menggunakan perkhidmatan mereka selain ada yang tidak memiliki Insurans E-Hailing," katanya dalam kenyataan.
Penghantar Malaysia turut mendedahkan terdapat dalam kalangan pemandu InDrive dan Maxim tidak pernah melakukan sebarang pemeriksaan kenderaan berkomputer secara berkala seperti terma dan syarat yang telah ditetapkan kerajaan.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka menyokong keputusan Agensi Pengangkutan Darat (APAD) baru-baru ini bertindak tegas mengarahkan InDrive untuk menyerahkan balik lesen dan menutup operasi mereka dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun persatuan itu bimbang kerana APAD tidak mengambil langkah segera dan lebih tegas terhadap platform e-hailing haram tersebut walaupun pelbagai aduan dan laporan dibuat oleh beberapa pemandu e-hailing sebelum ini.
"Malahan, tindakan InDrive membuat kenyataan awam bahawa ia 'beroperasi seperti biasa' adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, sebab APAD sudah memberi amaran dan surat penutupan operasi kepada mereka," katanya.
Justeru tambah Penghantar Malaysia, sudah tiba masa APAD menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih serius dan tidak wajar agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia sektor pengangkutan awam itu terus berdiam diri.
APAD kata kenyataan itu, tidak harus membiarkan platform haram tersebut beroperasi secara terbuka kerana dua aplikasi berkenaan jelas mengancam keselamatan pemandu dan pengguna, serta tidak wajar diberi ruang beroperasi dalam talian.
Pada masa yang sama, persatuan itu tidak mahu walaupun telah diharamkan, tetapi aplikasi tersebut masih terus beroperasi dengan menggunakan pelbagai kaedah lain dan kes berkenaan telah terbukti beberapa tahun lepas.
"Ketika pemandu e-hailing berusaha mematuhi undang-undang dan menanggung kos lesen PSV, insurans serta pemeriksaan kenderaan, kenapa kerajaan mengambil sikap tidak peduli terhadap mereka yang sengaja melanggar peraturan?" soalnya.
Pendirian sebegitu katanya, boleh melemahkan integriti sistem dan memberi mesej yang salah kepada operator industri, khususnya pemandu e-hailing.
Penghantar Malaysia turut mengemukakan tiga tuntutan termasuk meminta APAD segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan menjelaskan tindakan terhadap InDrive dan Maxim.
Selain itu, persatuan tersebut menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya segera menyekat aplikasi-aplikasi haram berkenaan dengan serta-merta.
Seterusnya kata mereka, kerajaan dituntut agar mengukuhkan komitmen terhadap keselamatan para pemandu dan pengguna, serta keadilan dalam industri gig terutama sektor e-hailing.
"Kegagalan untuk bertindak hanya akan mengorbankan nyawa, kepercayaan pengguna dan kelangsungan pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang, serta akhirnya merosakkan industri gig di Malaysia," katanya. - DagangNews.com
standard
