
SIK: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau tribunal siasatan khas bagi menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang, di sini.
Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Jariah Malaysia Mahadzir Abdul Hamid berkata siasatan terhadap kecurian sumber mineral itu di kompartmen 12, 13 dan 14 di HSK berkenaan perlu dijalankan tanpa menyembunyikan sebarang salah laku, penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa, sekiranya ada.
“Aktiviti ini dipercayai bermula kira-kira dua tahun lalu namun tiada tindakan tegas daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa, walaupun ada serbuan dan tangkapan pada September tahun lalu namun penyelesaian yang diambil itu termasuklah mengenakan kompaun berjumlah RM630,000, adalah tidak masuk akal.
“Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana tempoh kecurian berlaku hampir dua tahun, mungkin mencecah angka ratusan juta ringgit... justeru kami menggesa agar RCI atau tribunal siasatan khas ditubuhkan bagi melakukan siasatan menyeluruh,“ katanya kepada pemberita di Kampung Melayu, Paya Terendam, di sini, hari ini.
Mahadzir turut melahirkan kebimbangan berhubung penahanan warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes penerokaan REE secara haram di kawasan itu baru-baru ini, yang menurutnya perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Seramai 52 orang yang ditahan, 47 daripadanya adalah warga asing dan sebahagian besarnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah... kes kecurian yang pertama juga didalangi warga asing.. ini bukan isu main-main dan tindakan tegas perlu diambil,“ katanya.
Sementara itu, Penasihat Kelab Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mohd Sobri Ramlee mendakwa sejak pembalakan dilakukan di HSK tersebut pada 2017, pelbagai kesan negatif dihadapi penduduk sekitar terutama pencemaran sumber air bersih daripada HSK Bukit Enggang.
“Majoriti penduduk sekitar bergantung sepenuhnya daripada sumber air bukit kerana masalah gangguan bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman, apabila berlaku pembalakan, sumber air bersih tercemar.
“Apabila perlombongan REE pula dijalankan di situ, radioaktif paras rendah daripada kehadiran torium dan uranium dalam unsur nadir bumi berpotensi mendatangkan bahaya dan pengendalian yang tidak sempurna boleh menyebabkan kerosakan kesihatan dan alam sekitar yang amat besar,“ katanya.
Terdahulu, Mahadzir, Mohd Sobri bersama pengamal media dan penduduk kampung cuba meninjau lokasi tapak perlombongan REE itu namun hanya dibenarkan naik hingga di kawasan kaki bukit, iaitu kawasan sempadan HSK.
Tinjauan di Sungai Jeneri di Kampung Kuala Jeneri pula mendapati air sungai yang mengalir dari Bukit Enggang berubah warna dipercayai berpunca daripada kegiatan perlombongan REE. -Bernama

