Kerajaan digesa tumpu kepada kemahiran dan pekerjaan bergaji tinggi, bukan gaji minimum - SAMENTA
zulfadli
15/03/2024 - 13:06
KUALA LUMPUR 15 Mac - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa pihak kerajaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemahiran rakyat Malaysia untuk pekerjaan bergaji tinggi dan bukannya menyerah kepada permintaan kerap mengenai gaji minimum lebih tinggi.
Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, di Pulau Pinang dan kawasan berhampiran Kulim, lebih daripada 50,000 kekosongan jawatan jurutera dan teknikal yang masih belum diisi, walaupun industri menawarkan antara RM3,500 hingga RM6,000 gaji bulanan untuk mereka.
Katanya, ia adalah di sebalik usaha terbaik institusi pendidikan awam dan swasta untuk melahirkan pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi.
"Pihak industri juga menaikkan gaji pekerja secara konsisten, walaupun sebelum penubuhan sistem gaji minimum. Pada tahun 2010, gaji median untuk rakyat Malaysia ialah RM1,500 dan menjelang 2023, jumlah ini melonjak kepada RM2,600, lonjakan sebanyak 73%.
"Malangnya, kedudukan negara yang berdekatan dengan Singapura dan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan ramai pekerja terlatih dan berkemahiran tinggi meninggalkan negara.
"Nilai RM1,500 pada 2010 akan memberi anda S$635 tetapi menjelang 2023, nilai RM2,600 itu hanya bernilai S$765 atau kenaikan terkumpul sebanyak 20% sahaja sedangkan pada hakikatnya, pihak industri telah meningkatkan gaji secara berterusan sebanyak 73%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ng berkata, mewajibkan gaji minimum bukanlah cara yang paling cekap ataupun berkesan untuk menaikkan gaji pekerja.

Katanya, ia bertujuan untuk digunakan dengan berhati-hati bagi meningkatkan pendapatan mereka yang tergolong dalam kumpulan yang berpendapatan paling rendah.
"Apabila kenaikan gaji dilakukan tanpa kesepadanan dalam produktiviti atau margin perniagaan, ia akan menjejaskan prospek kenaikan pangkat pekerja yang lebih produktif dan akan memesongkan pasaran buruh kerana peniaga terpaksa mengurangkan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan PKS membuat pembayaran melebihi gaji minimum semasa, selain pasaran buruh di Malaysia juga cekap kerana majikan yang menawarkan gaji yang agak rendah berisiko untuk kehilangan pekerja mereka.
"Sebarang kenaikan gaji minimum bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah malah turut memberi kesan yang merata terhadap penggajian secara menyeluruh. Ia merupakan risiko yang tidak perlu diambil apabila pasaran sudah bertindak dengan cekap terhadap penawaran dan permintaan buruh," katanya.
Katanya, pihak kerajaan sebaliknya harus memberi tumpuan untuk menarik industri bernilai tinggi yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi dan turut memastikan rakyat Malaysia dilatih dan ditingkatkan kemahiran untuk pekerjaan yang mendatang. - DagangNews.com



